Dendam kesumat Dr Mahathir demi Mukhriz - Puad Zarkashi
KUALA LUMPUR: Ucapan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, pada perhimpunan agung parti itu di Shah Alam, kelmarin didakwa mendedahkan dendam kesumatnya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata Dr Mahathir menyalahkan Najib ke atas kegagalan politik anaknya, Datuk Seri Mukhriz, yang juga Timbalan Presiden PPBM.
"Saya amat yakin Dr Mahathir akan melakukan apa saja untuk menjatuhkan Najib daripada jawatan Perdana Menteri. Beliau terlalu obses menjadikan Mukhriz sebagai Perdana Menteri.
"Itu sebabnya beliau sanggup keluar masuk UMNO, menjilat DAP sehingga layak digelar sebagai 'manusia tanpa mustahil.'
"Kini beliau sanggup 'bercium mulut' dengan Anwar (Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim) kerana menuntut pembebasan Anwar walaupun sebelumnya sanggup memenjarakan Anwar atas alasan jenayah liwat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ucapan penggulungan Dr Mahathir pada perhimpunan agung tahunan PPBM di Shah Alam, kelmarin antara lain menyebut, mufti sepatutnya menegur amanat dikeluarkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pada 1981 yang didakwa mendorong penyokongnya menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan keganasan seperti peristiwa Memali pada 1985.
Mohd Puad berkata, ucapan Dr Mahathir hanya menyalahkan orang lain termasuk mufti dan Sultan.
"Siapa saja yang menghalang Mukhriz menjadi Perdana Menteri akan menjadi musuhnya, sebab itu PPBM dan pakatan pembangkang akan terus bergolak jika Mukhriz gagal menjadi Perdana Menteri," katanya.
Mohd Puad berkata, keputusan pakatan pembangkang melantik 'Perdana Menteri sementara' memberi gambaran blok pembangkang dianggotai DAP, PKR, Parti Amanah Negara dan PPBM gagal mencari kesepakatan calon paling layak melaksanakan perubahan dan memacu Malaysia ke arah kemajuan.
Katanya, pembangkang juga gagal menawarkan Perdana Menteri terbaik hingga terpaksa mengitar semula bekas Perdana Menteri selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri sementara, sekali gus membuktikan setiap parti mempunyai calon menunggu.
Bagaimanapun, beliau berkata, semua calon menunggu itu mempunyai masalah yang dengan sendirinya 'membuka pekung di dada' setiap parti dalam pakatan pembangkang.
"Perdana Menteri sementara dipersetujui kerana PKR mahu Anwar menjawat jawatan itu apabila bebas nanti manakala DAP bersetuju kerana mahu Lim Kit Siang menjadi Perdana Menteri.
"Dr Mahathir bersetuju kerana dia mahu Mukhriz jadi Perdana Menteri. Muhyiddin (Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin) bersetuju kerana seperti biasa akan memainkan muslihatnya di saat akhir untuk menjadi Perdana Menteri.
"Dalam kata lain, Perdana Menteri sementara membawa makna akan berlaku konflik saling menikam sesama mereka jika mendapat kuasa dan rakyat juga yang tertipu.
"Justeru, ini sebabnya rakyat perlu menyokong Barisan Nasional (BN) dan menolak pembangkang," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment