Undur diri hanya khabar angin

Tuesday, June 12, 2018

Undur diri hanya khabar angin

Undur diri hanya khabar angin

ALOR SETAR - Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan dakwaan mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah akan meletakkan semua jawatan sebagai khabar angin semata-mata.

Mahdzir yang juga bekas Menteri Pendidikan berkata, ada desas desus mengatakan bahawa Datuk Ahmad Bashah akan mengundurkan diri dan melepaskan jawatanya sebagai Pengerusi  Umno Kedah dan Pengerusi BN Kedah.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, dakwaan bahawa mantan Menteri Besar itu mengundurkan diri berkenaan buat masa ini adalah khabar angin sahaja.

"Apa yang saya boleh kata, itu hanya khabar angin. Apapun, sebaik-baiknya kita tunggu lepas 30 Jun ini berhubung perkara itu.

"Berkaitan dakwaan saya yang akan mengambil jawatan beliau juga, kita kena tunggu lepas pemilihan parti itu untuk beri ulasan lanjut,"katanya selepas Majlis Berbuka Puasa Badan Perhubungan Umno Kedah bersama Kepimpinan Umno Bahagian-bahagian Seluruh Kedah di Regency Hotel, di sini, sebentar tadi.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Padang Terap itu turut mengesahkan bahawa beliau akan bertanding untuk jawatan Naib Presiden Umno dalam pemilihan Majlis Tertinggi Umno 2018.

Terdahulu, Setiausaha Umno Kedah, Datuk Md Rozai Safian membuat pengumuman senarai nama calon yang menawarkan diri bertanding di peringkat Majlis Tertinggi dari Kedah.

Mahdzir berkata, bagaimanapun senarai calon belum muktamad memandangkan dalam tempoh itu ada calon boleh menarik diri dari bertanding dan semuanya diputuskan kepimpinan pusat.

Di Kedah, sembilan calon menawarkan diri untuk bertanding untuk jawatan Ahli Majlis Tertinggi, iaitu Ketua Umno Bahagian Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abd Rahim.

Antara lain, Ketua Umno Bahagian Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan bertanding untuk mempertahankan jawatannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Turut menawarkan diri, Ketua Umno Bahagian Pendang, Datuk Md Rozai Safian, Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu, Datuk Seri Johari Baharom dan Ketua Umno Bahagian Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad.

Empat calon lain, adalah Adun Sungai Tiang merangkap Ketua Wanita Umno Bahagian Pendang, Datuk Suraya Yaacob, Ahli jawatankuasa Umno Bahagian Pokok Sena, Dr Mohammad Nawar Ariffin, Timbalan Ketua Umno Bahagian Merbok, Prof Dr Ismail Daut dan Datuk Latt Shariman Abdullah.

Dalam majlis sama, Rozai turut mengumumkan Datuk Dr Mashitah Ibrahim akan bertanding untuk jawatan Naib Ketua Wanita Umno Malaysia.

Manakala, Ummi Kalsom Abdul Muthalib dan Maizatul Miza Mohd Disa akan bertanding bertanding untuk jawatan exco Puteri Umno.

Ketua Wanita Umno Bahagian Sungai Petani, Wan Mohalina Wan Mohamad dan Adun Bandar Baharu, Datuk Nor Sabrina Mohd Noor akan bertanding untuk jawatan Exco Pergerakan Wanita.

Selain itu, Ketua Pemuda Umno Kubang Pasu, Datuk Hasmuni Hassan, Naib Ketua Pemuda Umno Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, Ketua Pemuda Umno Langkawi, Ahmad Marzuki Shari'at dan ahli jawatankuasa (AJK) Pemuda Umnk Merbok, Muhamad Nur Aizat Noor Azam menawarkan diri bertanding untuk jawatan Exco Pemuda Umno.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment