Bantuan RM400 kepada guru Kafa, imam, bilal, siak

Tuesday, June 12, 2018

Bantuan RM400 kepada guru Kafa, imam, bilal, siak

Bantuan RM400 kepada guru Kafa, imam, bilal, siak

BUTTERWORTH - Kerajaan hari ini mengumumkan pemberian bantuan Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM400 kepada guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa), imam, bilal dan siak di seluruh negara.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata sumbangan berkenaan telah diluluskan hari ini.

“Atas arahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, saya hari ini telah meluluskan pemberian sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada guru Kafa, imam, bilal dan tok siak. Kita bagi RM400 sama seperti yang diterima penjawat awam di peringkat persekutuan.

“Ini yang saya baru luluskan dan saya tandatangan  hari ini. Saya akan keluarkan satu kenyataan rasmi esok,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa di Masjid Jamek Kubang Buaya, di sini hari ini.

Guan Eng, ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata bantuan berkenaan akan diberikan secepat mungkin.

Ditanya mengenai jumlah peruntukan bantuan itu, beliau berkata pihaknya akan memberi maklumat terperinci berhubung pengumuman itu dalam kenyataan rasmi yang akan dikeluarkan esok.

Sementara itu, mengulas mengenai rundingan semula projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), Lim berkata kerajaan masih perlu membincangkan perkara itu sebelum meneruskan rundingan berkenaan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada sidang media di Putrajaya hari ini berkata Malaysia akan menghantar tiga menteri iaitu beliau sendiri, Lim dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, ke Singapura bagi membuat rundingan semula projek HSR dengan negara itu.

Pada 28 Mei lepas, Dr Mahathir mengesahkan Malaysia akan membatalkan projek HSR dan kemungkinan perlu membayar pampasan sehingga RM500 juta kepada Singapura.

Projek HSR, dirancang membabitkan jarak 335 kilometer dan meliputi empat negeri, akan menghubungkan Kuala Lumpur ke Singapura. Projek itu dijadual siap pada 2026. - Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment