'Musa sentiasa guna saluran sah'

Friday, June 1, 2018

'Musa sentiasa guna saluran sah'

'Musa sentiasa guna saluran sah'

KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman, sentiasa menggunakan saluran imigresen yang betul dan sah untuk setiap perjalanannya.

Peguamnya, Zahir Shah, berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, yang mendakwa bekas Ketua Menteri Sabah itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959/1963 jika keluar dari negara ini melalui cara tidak sah.

Dalam satu kenyataan di sini malam ini, Zahir berkata, Musa kini mendapatkan rawatan perubatan seperti saranan pakar selepas sekian lama tertangguh.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan lokasi Musa mendapatkan rawatan, termasuk kemungkinan di luar negara.

"Tan Sri Musa akan kembali sebaik rawatan perubatannya selesai dan doktor berpuas hati dengan keadaan kesihatannya.

"Tan Sri Musa mengulangi sentiasa bersedia memberi kerjasama penuh dan akan terus berbuat demikian dalam membantu pihak berkuasa jika ia dijalankan secara adil dan mematuhi undang-undang," katanya.

Mustafar dalam satu sidang media dilaporkan berkata, rekod Jabatan Imigresen menunjukkan Musa tidak keluar negara walaupun beliau dilaporkan dilihat di London.

Kelmarin, seorang pengguna Facebook mendakwa melihat kelibat lelaki mirip Musa di Stesen Kereta Api St Pancras International, London.

Pengguna Facebook dikenali sebagai Az Eem itu turut memuat naik video berdurasi 10 saat yang kemudian tersebar luas.

Musa dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung laporan polis dibuat Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berkaitan ugutan jenayah.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut hadir ke kediaman Musa di Kota Kinabalu, namun tidak dapat memasukinya kerana beliau tiada di rumah.

Tindakan itu dipercayai ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment