Sebar mesej biasakan baca al-Quran

Saturday, June 2, 2018

Sebar mesej biasakan baca al-Quran

Sebar mesej biasakan baca al-Quran

KUALA LUMPUR: Dalam usaha membudayakan al-Quran dalam kalangan masyarakat, seramai 30 anak muda mengambil inisiatif membaca al-Quran dalam Transit Aliran Ringan (LRT) menerusi kempen Quran Sana Sini di sini hari ini.

Kempen inisiatif bersama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan portal Indahnya Islam, berlangsung selama satu jam membabitkan laluan LRT Stesen Gombak ke Stesen KL Sentral dan kembali ke Stesen Gombak.

Naib Yang Dipertua ISMA, Abdul Samad Ashaari, berkata LRT menjadi pilihan dalam kempen itu, sebagai simbolik membuktikan ia boleh dibaca di mana-mana saja.

Katanya, dalam kalangan masyarakat tempatan, al-Quran sering di baca di rumah atau masjid. Justeru seiring usaha mengatasi kejanggalan itu dalam kalangan masyarakat mendorong ISMA memilih LRT.

"Kami mahu mendidik masyarakat untuk membudayakan membaca al-Quran, pada masa terluang termasuk di dalam pengangkutan awam.

"Hari ini tidak sukar untuk membaca al-Quran kerana terdapat kemudahan aplikasi telefon pintar.

"Paling penting, kami mahu mendorong orang ramai untuk membaca al-Quran dan kurangkan peruntukan melayari laman sesawang dan media sosial, mendengar muzik atau bermain permainan dalam telefon pintar," katanya ketika ditemui pada pelancaran kempen itu yang turut diadakan sempena Nuzul Al-Quran hari ini.


MEMBUDAYAKAN Al-Quran individu perlu menetapkan sasaran untuk menamatkan surah tertentu. - Foto Asyraf Hamzah

Kempen dibangunkan sejak lima tahun lalu itu, mendapat inspirasi antarabangsa, Quran Hour.

Tahun lalu ISMA menjayakan acara sama dalam Komuter.

Abdul Samad, berkata konsep ditampil dalam kempen itu sebagai mesej untuk membiasakan pembacaan al-Quran di mana-mana saja termasuk pengangkutan awam.

"Kita tidak melihat jumlah peserta yang ramai sebagai kejayaan kempen, tetapi kami berharap apabila orang ramai melihat atau memviralkan kempen ini, masyarakat akan biasa mengenainya.

"Kita mahu dalam sesuatu perjalanan di dalam LRT contohnya, ia dimanfaatkan dengan membaca Quran.

"Kalau dalam satu perjalanan LRT kita boleh habis membaca lima helai, hala balik juga lima helai, dah 10 helai sehari. Kita mahu masyarakat membaca al-Quran dan selepas itu menghayati dalam kehidupan harian," katanya.

Sementara itu, peserta termuda, Mohammad Farid Zul Haikal Mohd Zamberi, 16, menyertai acara itu atas jemputan seorang rakan.

Katanya sasaran untuk khatam Al-Quran sepanjang Ramadan ini mendorong beliau menyertainya.

"Saya tertarik untuk turut serta bagi mengisi masa lapang, pada masa sama mempromosi pembacaan al-Quran dalam kenderaan awam," katanya.

Dia yang sudah menamatkan juzuk 15, berhasrat menggiatkan bacaan dalam Ramadan yang bersisa kira-kira dua minggu lagi.

Sukarelawan Persatuan Belia Islam Malaysia (PEMBINA), Muhamad Safwan Rahumatulla, 20, berkata dalam usaha membudayakan Al-Quran individu perlu menetapkan sasaran untuk menamatkan surah tertentu.

"Bila niat itu sudah ada, kita boleh membaca al-Quran di mana-mana saja," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment