Rayu bantuan jalani pembedahan

Saturday, June 2, 2018

Rayu bantuan jalani pembedahan

Rayu bantuan jalani pembedahan

RAWANG: Sepasang suami isteri memohon sumbangan orang ramai untuk membantu membiayai kos rawatan pembedahan pemindahan tulang sum-sum anak mereka yang disahkan menghidap penyakit pra-leukemia.

Muhammad Farish Daniel Fazely, 14, perlu menjalani pembedahan pada hari raya keempat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan kos kira-kira RM70,000 yang di luar kemampuan keluarga berkenaan.

Ibunya, Irni Nadia Mashadi, 32, berkata pendapatan suami, Fazely Faizair, 35, yang bekerja sebagai pemandu menyukarkan mereka mengumpul wang berkenaan dalam masa terdekat ini.

Katanya, penyakit anaknya mula disedari pada Mac lalu, apabila demam berpanjangan, mudah penat, lemah dan cepat terkena jangkitan sebelum dirujuk di Hospital Selayang.

"Keputusannya tidak diperoleh selepas melakukan pelbagai ujian darah manakala keadaannya masih sama, lalu dia dirujuk ke PPUM.

"Dari situ, ujian sampel tulang belakang diambil dan doktor memaklumkan anak saya menghidap pra-leukemia.

"Kami terkejut kerana ia sangat drastik sedangkan Farish aktif sebelum ini. Sejak itu, anak saya tidak ke sekolah kerana antibodinya tidak kuat, mudah letih dan ada ketika sakit di bahagian perut.

"Kadang-kadang wajahnya pucat lesu dan kekuningan," katanya selepas menerima kunjungan Pengerusi Yayasan Jamin, Datuk Sohaimi Shahadan, di rumahnya di Kuang, dekat sini, hari ini.

Yayasan Jamin memberi sumbangan RM5,000 dan melancarkan Tabung Prihatin #SelamatkanAdikMuhammadFarish bagi mengutip dana membantu membiayai pembedahan kurang tiga minggu lagi.

Muhammad Farish Daniel akan menerima sumbangan tulang sum-sum daripada adiknya, Muhammad Firhad Danish, 13, yang disahkan sepadan.

Irni Nadia bersyukur kerana cepat mendapatkan rawatan untuk anaknya sebelum menjadi leukemia yang lebih tinggi risikonya.

"Doktor menasihatkan pembedahan dibuat secepat mungkin dan jika ditangguhkan, hayatnya mungkin dua tahun saja.

"Perit juga dengan keadaan Ramadan dan Aidilfitri bakal tiba, namun kesihatan anak lebih penting," katanya yang mempunyai empat cahaya mata.

Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Irni Nadia di talian 019-3933161.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment