Raya tahun kelima tanpa suami

Thursday, June 14, 2018

Raya tahun kelima tanpa suami

Raya tahun kelima tanpa suami

TRAGEDI kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 pastinya meninggalkan meninggalkan kesan kepada rakyat di negara ini. Pastinya tidak ada yang akan melupakan peristiwa hitam ini.

Mereka yang cukup terkesan pastinya ahli keluarga baik ibu bapa, isteri, anak dan saudara. Empat tahun berlalu sejak MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk anak kapal hilang pada 8 Mac 2014, kesedihan ahli keluarga mungkin sedikit kurang namun kerinduan itu pastinya semakin menebal tatkala Hari Raya Aidilfitri kunjung tiba.

Bagi Intan Maizura Othman iaitu isteri kepada kru MH370, Muhammad Hazrin Hasnan berkata, ini adalah Aidilfitri kelima tanpa suami di sisi beliau dan anak-anak.

“Apa yang ada dalam hati saya sehingga hari ini adalah reda, rindu dan nak tahu apa nasib penumpang MH370 terutama suami saya.

“Tipu kalau saya katakan tak rasa janggal dan kosong apabila beraya tanpa insan bergelar suami. Pastinya beliau sentiasa dirindui saya dan anak-anak,” katanya kepada Sinar Harian.

Namun begitu, beliau berkata, kesedihan tersebut tidak sepatutnya ditonjolkan di depan anak-anaknya itu kerana bimbang mempengaruhi emosi mereka.

“Perkara pertama adalah saya tak terapkan kesedihan kepada anak-anak. Hari raya sepatutnya kita sambut dengan gembira. Takkan lah di pagi raya saya ajak anak bersedih, menangis mengenangkan ayah mereka.

“Persiapan raya seperti biasa, kami keluar beraya seperti orang lain. Dalam gembira pastinya terselit sedikit rasa sayu tapi saya tak tunjukkan di depan anak-anak. Saya tak mahu mempengaruhi mereka dan apa sebab kita nak mereka menangis,” katanya.

Menurutnya, tahun ini beliau dan anak-anak pulang beraya ke rumah ibunya di Perlis.

“Biasa kami gilir-gilir pulang ke kampung tahun sebelum ini ke kampung mertua dan tahun ini ke Perlis. Dalam bulan puasa saya bawa anak-anak berbuka bersama keluarga mertua,” katanya.

Dalam bercerita tentang Hari Raya Aidilfitri, Intan turut menceritakan tentang anak sulungnya, Iman Hazrin,9, yang masih mengekalkan rutin sama sejak empat tahun lalu iaitu tidur bersama gambar ayahnya.

“Sehingga hari ini dia tidur dengan gambar papanya. Antara soalan yang sering ditanya olehnya adalah bila boleh berjumpa dengan papanya.

“Bagi anak keduanya, Muhammad Mohd Hazrin,4, bila dia dah pandai bercakap, dia sudah betul-betul kenal papanya. Sekarang dia sendiri minta untuk jumpa. Saya sendiri tak tahu nak bagi jawapan macam mana untuk pastikan mereka betul-betiul faham,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: MH370: Waris mahukan kebenaran]

Ketika tragedi kehilangan MH370 berlaku, Intan sedang hamil tujuh bulan anak keduanya itu.

Mengenang apa yang menimpa dirinya dan keluarga, Intan berkata, beliau reda dengan ketentuan ALLAH, namun mahu mendapatkan jawapan sebenar mengenai apa yang berlaku terhadap suami dan pesawat MH370.

“Isu ini suatu yang besar dan semua pihak teruja untuk tahu cerita sebenar. Ini untuk masa depan anak-anak dan ahli keluarga mangsa. Kalau ditanya oleh anak-anak di mana bapanya, apa saya nak jelaskan kepada mereka kelak.

“Nak juga tahu adakah sebab kokpitnya terbakar atau sayapnya ada masalah. Kapal terbang sangat dekat kehidupan saya,” katanya.

Justeru beliau meminta agar kerajaan baharu merungkai dan mendapatkan kebenaran mengenai misteri kehilangan pesawat MH370.

“Kami ahli keluarga MH370 meminta supaya kerajaan memberikan penjelasan lebih jelas mengenai perkara ini. Saya tak mahu lagi terus menunggu tanpa penjelasan konkrit.

“Kami semua berhak mendapat maklumat telus. Mereka yang berada dalam pesawat itu adalah ibu ayah kepada anak-anak dan suami kepada isteri. Kami menunggu mereka,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment