Pisahkan Pejabat Pendakwa Raya, Pejabat Peguam Negara

Tuesday, June 26, 2018

Pisahkan Pejabat Pendakwa Raya, Pejabat Peguam Negara

Pisahkan Pejabat Pendakwa Raya, Pejabat Peguam Negara

KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan Peguam Negara, Tommy Thomas memulakan langkah memisahkan  Pejabat Pendakwa Raya daripada Pejabat Peguam Negara.

Katanya, ini perkara yang diperjuangkan oleh Majlis Peguam dan Thomas juga sebelum ini menyatakan beliau bersetuju secara peribadi dengan cadangan tersebut.

"Keputusan yang dibuat Peguam Negara, Tommy Thomas agar Jabatan Peguam Negara untuk tidak mewakili mana-mana parti dalam mana-mana Petisyen Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat dilihat sebagai langkah awal.

"Perkara ini juga adalah selaras dengan janji Manifesto Pakatan Harapan yang turut menekankan hal yang sama. Peguam Negara hanya akan bertindak sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan dan harus bertanggungjawab di Parlimen sementara pendakwaraya pula bertindak sebagai orang yang bertanggungjawab menjaga kepentingan orang awam dan kekal neutral," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, langkah ini sudah diamalkan beberapa buah negara seperti United Kingdom dan India.

"Namun, perkara itu hanya boleh direalisasikan sekiranya Peguam Negara bersedia dan Pakatan Harapan benar-benar serius untuk melakukan perubahan dalam sistem perundangan Negara," katanya.

Justeru Thomas digesa untuk menasihatkan kerajaan hari ini memulakan langkah itu dengan membentangkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, Kanun Jenayah dan Akta Tafsiran dalam sidang Parlimen pada 16 Julai ini.

"Usaha ini membolehkan Manifesto Pakatan Harapan dapat direalisasikan seperti mana yang telah dijanjikan sebelum PRU14. Saya sebagai ahli Parlimen sentiasa menyokong penuh sebarang transformasi undang-undang yang akan membawa manfaat kepada rakyat dan negara secara keseluruhanya," katanya.

Tambahnya, terdapat cara lain untuk memisahkan Pejabat Peguam Negara dan Pendakwa Raya iaitu dengan melantik Peguam Negara sebagai Senator serta seterusnya Menteri Undang-Undang.

"Ini akan membolehkan Peguam Negara bertangungjawab kepada Parlimen. Sementara itu, Peguamcara Negara boleh menjalankan tugas sebagai Pendakwaraya seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang

"Saya juga mencadangkan kerajaan menubuhkan semula Kementerian Undang-Undang dan diharap dapat dilaksanakan pada 2 Julai nanti," katanya.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment