Pelajar Orang Asli perlu didekati

Saturday, June 16, 2018

Pelajar Orang Asli perlu didekati

Pelajar Orang Asli perlu didekati

KUANTAN: Pendekatan lebih mesra dan sering bersama pelajar Orang Asli sambil berjenaka sangat berkesan dalam mendidik saudara baharu yang terbabit dalam Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Orang Ramai (PETAMA) anjuran Yayasan Pahang.

Bagi Razi Ahmad, 46, yang berpengalaman kira-kira 14 tahun sebagai pendidik mengakui, kaedah itu lebih mudah dalam menyampaikan ilmu berkaitan Islam kepada pelajar Orang Asli, terutamanya di pusat PETAMA Indera Mahkota, dekat sini.

"Dalam menyampaikan ilmu ini, kita tidak boleh sentiasa dalam keadaan serius atau tegas... perlu ada ruang untuk bergurau dengan pelajar dan menjadikan ia (proses pembelajaran) itu lebih menarik.

"Kita juga tidak boleh memaksa pelajar kerana setiap daripada mereka mempunyai tahap pemahaman yang berbeza... jadi, kita kena tahu tahap atau kemampuan setiap pelajar yang kita ajar bagi mengelakkan perasaan rendah diri dalam kalangan mereka," katanya.

Beliau kini sedang mengendalikan pusat PETAMA Indera Mahkota yang menempatkan 67 pelajar Orang Asli dari Johor, Terengganu dan Kelantan.

Selain menawarkan peluang pendidikan Islam, PETAMA turut menawarkan mata pelajaran lain bagi pelajar yang layak seperti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dibantu tujuh lagi guru lain yang dilantik Yayasan Pahang.

"Pusat PETAMA ini sudah beroperasi sejak 2004 dan sudah ramai pelajar yang memperoleh manfaat hasil inisiatif Yayasan Pahang.

"Dalam melakukan tugas mendidik mereka (pelajar Orang Asli) kita memerlukan kesabaran dan jangan mudah marah... kita kena jaga hubungan baik dengan mereka untuk meningkatkan minat pelajar berkenaan terhadap pelajaran," katanya.

Selain Yayasan Pahang, pusat PETAMA turut mendapat sokongan dan bantuan daripada pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment