Jaga silaturahim, perasaan keluarga

Saturday, June 16, 2018

Jaga silaturahim, perasaan keluarga

Jaga silaturahim, perasaan keluarga

MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berpandangan eloklah seseorang tidak berpuasa sunat pada hari kaum keluarga atau sahabat handai menjamu selera kerana walaupun puasa sunat itu digalakkan, tetapi menjaga silaturahim dan perasaan keluarga juga penting.

Beliau berkata, ini kerana hari-hari puasa enam Syawal itu ada pilihan, sementara kadang-kadang waktu kemeriahan keluarga itu sukar diperolehi melainkan seperti pertemuan semasa cuti hari raya ini.

“Individu berkenaan masih boleh puasa pada hari-hari lain yang masih berbaki dalam bulan Syawal ini,” katanya dalam laman Facebook miliknya, DrMAZA.com.

Menurutnya, amalan puasa enam hari pada Syawal ini adalah sunat dan sesiapa yang mengerjakannya diibaratkan berpuasa sepanjang tahun. Ini berdasarkan Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud, Al-Tirmizi, Ibnu Majah dan lain-lain.

“Imam Malik bin Anas dalam Al-Muwatta mengatakan makruh puasa enam pada Syawal, kerana beliau tidak pernah melihat ilmuwan dan ahli fekah melakukan puasa tersebut. Namun pendapat itu tidak kuat,” katanya.

Menurutnya, ketika mengulas kenyataan Imam Malik yang melihat tiada ilmuwan pada zamannya mengamalkan puasa enam tersebut, Imam Nawawi berkata: “Apabila sunnah itu telah sabit, maka ia tidak ditinggalkan hanya kerana ia tidak diamalkan oleh sebahagian, atau kebanyakan atau semua orang sekalipun.”

Mohd Asri berkata, maksud Imam Nawawi adalah kita tidak patut meninggalkan sunnah Nabi Muhammad SAW hanya kerana melihat orang lain tidak mengamalkannya sedangkan ia terbukti sahih riwayat tersebut di sisi ilmuwan hadis dan tiada nas sahih lain yang boleh menolak amalan tersebut.

Mengulas persoalan bilakah afdalnya dilakukan puasa enam pada Syawal, Mohd Asri berkata, terdapat perbezaan dalam kalangan ulama; apakah afdal dilakukan puasa enam hari pada bulan Syawal itu sebaik sahaja selepas hari raya secara berturut-turut, atau mana-mana enam hari pada bulan Syawal itu sama sahaja. Pendapat Mazhab Ahmad sama ada ditunaikan berturut-turut atau tidak adalah sama sahaja. Pendapat Mazhab Hanafi dan Syafi’i: Afdalnya berturut-turut selepas hari raya (lihat: Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah 1/380, Beirut: Dar Al-Fikr).

“Walaupun di sana ada yang berpendapat yang afdalnya adalah berturutan selepas hari raya disebabkan ungkapan ‘kemudian dia susulinya’, namun fadilat puasa enam ini tetap diperoleh oleh sesiapa sahaja yang berpuasa enam hari tersebut dalam bulan Syawal sekalipun bukan berturut-turut selepas hari raya.

“Kata Imam Nawawi: “Afdalnya dilakukan puasa enam hari berturut selepas hari raya. Jika dilewatkan hingga akhir Syawal tetap dapat fadilat ‘disusuli enam hari’ kerana ia menyusuli enam hari dalam bulan Syawal” (Syarh Sahih Muslim, 8/238),” jelasnya.

Menurutnya, Lajnah Fatwa Tetap Arab Saudi ketika menjawab persoalan itu berkata: “Tidak semestinya dia berpuasa terus selepas hari raya. Bahkan harus untuk dia memulakan sehari atau beberapa hari selepas hari raya. Sama ada dia hendak berpuasa bersambungan ataupun berpecah-pecah dalam bulan Syawal. Ia berdasarkan apa yang mudah baginya. Perkara ini luas (pilihannya)”. (Fatawa Al-Lajnah Al-Daimah li Al-Buhuth Al-‘Ilmiyyah, 10/391)

Ada juga segelintir pihak dalam masyarakat yang menyambut hari raya puasa enam, namun Mohd Asri menegaskan bahawa, tiada dalam Islam apa  dinamakan dengan ‘hari raya puasa enam’.

“Tiada juga ibadat khusus hari raya puasa enam Syawal seperti ‘solat tasbih hari raya puasa enam’ yang dibuat di sesetengah tempat. Ini semua perkara yang diada-adakan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat Baginda SAW.

“Solat tasbih pun jika hendak dilakukan, jangan dikaitkan dengan hari raya puasa enam atau sebagainya,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment