Nafas: Kementerian Pertanian akan ambil tindakan

Saturday, June 2, 2018

Nafas: Kementerian Pertanian akan ambil tindakan

Nafas: Kementerian Pertanian akan ambil tindakan

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan ambil tindakan sewajarnya bagi menangani isu-isu berkaitan perladangan susulan penggantungan perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Menterinya, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya akan membincangkan perkara itu esok selepas mendapat taklimat daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

“Itu (penggantungan perlembagaan Nafas) isu-isu pentadbiran yang telah saya berikan mandat kepada KSU untuk buat apa sahaja tindakan yang perlu sekiranya berlaku masalah atau isu-isu yang melibatkan semua agensi di bawah Kementerian Pertanian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Salahuddin berkata, kementerian akan meletakkan anggota baharu sekiranya perlu bagi memastikan peranan Nafas dapat dilaksanakan dengan lebih efisien.

“Kita akan tengok maklumat pada Isnin ini (esok). Sekiranya perlu kepada pengisian anggota baharu, kita akan buat segera bagi memastikan Nafas kembali kepada peranan asalnya dan dapat laksanakan kerja-kerja dengan lebih berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bekalan makanan dan keperluan tidak terjejas ekoran isu yang melanda Nafas ketika ini.

“Kementerian telah buat langkah sewajarnya untuk memastikan bekalan makanan dan barang-barang keperluan semua cukup pada hari raya Aidilfitri.

“Isu Nafas ini hanya isu pentadbiran sahaja yang harus diberi perhatian, tetapi dari segi operasi pula tiada masalah,” katanya.

Nafas digantung perlembagaannya berkuatkuasa 1 Jun lalu oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), melalui kuasa-kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 20(1) Akta 109.

LPP menerusi satu kenyataan semalam berkata, Nafas menghadapi masalah serius dalam barisan kepimpinan Ahli Jemaah Pengarah dan pengurusan dari segi kompetensi kebertanggungjawaban serta ketelusan dalam pengurusan hal ehwal pertubuhan itu, berdasarkan laporan audit Nafas dan pengauditan 26 Mac hingga 6 April lalu.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment