Aidilfitri rezeki si pencari buluh lemang

Saturday, June 2, 2018

Aidilfitri rezeki si pencari buluh lemang

Aidilfitri rezeki si pencari buluh lemang

PADANG TERAP: Terserempak dengan ular di celahan buluh selain terkena miang tumbuhan antara cabaran utama pencari buluh lemang ketika musim perayaan.

Namun bagi dua sahabat, Abdul Latif Mat Jelas, 63, dan Zainon Abdul Ghani, 39, dari Kampung Perik, di sini, mereka sudah lali dengan keadaan itu kerana sudah tiga tahun menjadikan pekerjaan itu sebagai pendapatan sampingan.

Abdul Latif berkata, dia dan Zainon menganggap haiwan itu lebih bersifat 'mengalah' daripada menyerang mereka sekiranya tidak merasa terancam.

"Kami perlu sentiasa berhati-hati semasa menebang buluh, selalunya ular yang kami temui adalah ular sawa dan ular tedung kerana binatang ini suka tidur di celahan pokok buluh.

"Alhamdulillah setakat ini kami belum pernah diserang ular kerana masing-masing akan beredar dari pohon itu," katanya.

Bercerita lanjut, Abdul Latif berkata, bagi memenuhi permintaan pelanggan semasa musim perayaan, dua sahabat ini sanggup meredah hutan termasuk merentasi Tasik Pedu dengan menaiki bot.

Katanya, tempahan paling banyak akan diterima seminggu sebelum lebaran iaitu menjangkau 1,000 ruas sehari.

"Modal untuk mencari buluh lemang tidaklah tinggi, kami hanya memerlukan gergaji dan parang tetapi apabila terpaksa menggunakan bot, kami akan mengeluarkan modal sebanyak RM300 bagi mengisi petrol.

"Bot itu dipinjam secara percuma daripada majikan kami yang mengusahakan rumah bot di Tasik Pedu," kata petugas am di House Boat Tasik Pedu itu.

Bagi Zainon pula, biarpun kerja mereka memerlukan kerahan kudrat yang kuat, namun semua kepayahan itu berbaloi apabila mereka mampu meraih pendapatan kira-kira RM10,000 sepanjang Aidilfitri.

Katanya, mereka hanya memilih buluh muda untuk ditebang bagi memastikan rasa lemang manis dan wangi.

"Selalunya kami akan menebang buluh muda, selepas tebang ia akan dipotong mengikut ruas sebelum dibasuh satu persatu menggunakan sabut kelapa supaya miangnya ditanggalkan.

"Kami juga perlu memastikan bahagian dalam buluh bersih dan 'tidak berpenghuni' dengan serangga. Kemudian ia akan dijual dengan harga RM1 sebatang," katanya.

Katanya, harga yang dijual mahal 20 sen berbanding buluh yang tidak dibasuh.

Bagaimanapun, menurutnya, pelanggan tidak kisah dengan harga itu kerana mereka sendiri tidak sanggup terkena miang buluh di badan.

Ditanya mengenai petua untuk mengelak terkena miang buluh, Zainon berkata, dia tidak mempunyai sebarang petua kecuali mandi sebaik sahaja selesai mengambil dan membasuh buluh lemang.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment