Hadkan penggal KM, tubuh Melcat - Adly

Saturday, June 2, 2018

Hadkan penggal KM, tubuh Melcat - Adly

Hadkan penggal KM, tubuh Melcat - Adly

MELAKA: Berpaksi slogan 'Melaka Berwibawa' dengan tagline Pintar, Hijau, Bersih, Ketua Menteri, Adly Zahari, fokus melaksanakan tadbir urus cekap dalam usaha memastikan kerajaan negeri melaksana tanggungjawab dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata dalam merealisasikan hasrat itu, dua inisiatif permulaan akan dilaksanakan iaitu mengehadkan tempoh perjawatan ketua menteri Melaka kepada dua penggal dan menubuhkan Jawatankuasa Kompetensi, Akauntabiliti dan Ketelusan Melaka (Melcat).

Katanya, dua inisiatif itu tidak dilaksanakan kerajaan terdahulu dan pihaknya percaya inisiatif berkenaan akan membuka ruang untuk melaksanakan lebih banyak inisiatif dalam memastikan kecekapan dan keberkesanan kerajaan negeri menunaikan amanah yang diberikan oleh rakyat.

"Kita meletakkan asas masa bagi jawatan ketua menteri agar beliau dapat mengguna sepenuhnya potensi masa yang ada dengan semaksimum mungkin kerana beliau tahu jalan keluarnya selepas itu, seterusnya ini membolehkan beliau menjalankan tugas dengan sebaik mungkin.

"Seorang ketua menteri perlu menyelesaikan tugasnya dalam tempoh tertentu, jadi beliau perlu mengguna sebaik mungkin masa 24 jam sehari, sebulan dan setahun bagi merangka apa yang perlu dilakukannya dalam masa dua penggal," katanya kepada BERNAMA.

​​​​

Adly berkata, Melcat pula akan memainkan peranan menilai tadbir urus secara terperinci terhadap semua aspek membabitkan kerajaan negeri serta mekanisme berkaitan termasuk keberkesanan ketua menteri, EXCO kerajaan negeri dan pegawai jabatan dan agensi kerajaan.

"Semua laporan awam dan kritikan awam boleh dibawa kepada perbincangan di peringkat jawatankuasa ini, maknanya mereka boleh membuat pendengaran awam kepada isu berkaitan. Penubuhan jawatankuasa telah diumumkan kerajaan negeri dan perkara itu akan dibincangkan seterusnya dalam mesyuarat peringkat negeri," katanya.

Beliau berkata, cadangan penubuhan Melcat itu akan dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri untuk diluluskan dan akan dipengerusikan oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri yang boleh memanggil pendengaran awam bagi menyiasat sesuatu isu berbangkit.

Mengenai langkah kerajaan negeri untuk mengurus kewangan, Adly berkata secara asasnya kerajaan negeri harus mempunyai bajet lebihan bagi memastikan pengurusan kewangan seimbang dan berkesan.

"Kita baru dua minggu dapat melihat keseluruhan kedudukan kewangan, kita masih dalam proses menilai kaedah perbelanjaan. Sudah 10 tahun sebelum ini kerajaan negeri menghadapi masalah defisit berbelanja, jadi hasrat kita mahu berbelanja tidak lebih daripada pendapatan itu kiraan mudahnya.

"Cara awal untuk kita capai ini ialah kita akan melihat kaedah penjimatan yang perlu kita lakukan. Contohnya kerajaan terdahulu membelanjakan RM3.3 juta untuk sambutan Hari Raya peringkat negeri, namun kita hanya akan belanja RM1.6 juta," katanya.

Mengulas mengenai mekanisme mengurangkan hutang kerajaan negeri berjumlah RM845 juta, Adly berkata penstrukturan semula jabatan serta agensi kerajaan negeri akan mengurangkan belanja pengurusan yang mencecah sekitar 60 hingga 70 peratus daripada bajet tahunan negeri.

"Kita kemaskan pengurusan sekarang, ada agensi kerajaan dimansuhkan, bila ini distruktur semula, ini akan mengurangkan belanja pengurusan, kita juga lihat emolumen, gaji, kontrak terutama pegawai peringkat tinggi. Selain itu kita juga akan lihat keberkesanan belanja pembangunan sekitar 30 hingga 70 peratus (daripada bajet tahunan)," katanya.

Beliau berkata selain itu manifesto Pakatan Harapan yang akan memulangkan 10 peratus daripada bayaran cukai tahunan kepada kerajaan negeri akan memberi impak yang amat besar kerana Melaka membayar sekitar RM5 bilion cukai setahun kepada kerajaan persekutuan.

"Kalau 10 peratus itu diguna pakai, Melaka akan dapat RM500 juta setahun dan jika dikira secara terus dua tahun sudah lebih daripada cukup bayar hutang itu. Tetapi kita faham keadaan ekonomi kerajaan persekutuan sekarang dan akan berbincang sebaiknya," katanya.

Adly berkata jika kerajaan Persekutuan tidak dapat membayar jumlah itu secara tunai, kerajaan negeri berharap jumlah itu dapat ditolak daripada jumlah hutang kerajaan negeri dan perbincangan akan dilakukan bagi memperoleh situasi menang-menang untuk semua pihak.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment