Membangun negara keusahawanan
SAYA sebenarnya agak bimbang melihat diskusi politik pra dan pasca PRU14. Rakyat meletakkan harapan kepada kerajaan untuk selesaikan masalah mereka. Kebim-bangan saya ialah apabila kerajaan tidak dapat memenuhi harapan rakyat, mereka akan kecewa. Jurang antara harapan dan pencapaian boleh melebar jika tidak ditangani dengan baik.
Di sinilah saya merasakan kerajaan harus mengambil satu pendekatan yang lebih mampan atau sustainable dalam membela kepentingan rakyat.
Saya setuju untuk kita menjadi sebuah 'negara kebajikan' dalam konteks menentukan tidak ada rakyat ketinggalan. Bagaimanapun, saya mahu melihat kita menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan.
Negara keusahawanan bukanlah sebuah negara yang semua orang buat bisnes. Negara keusahawanan atau entrepreneurial nation ialah sebuah negara yang semua pemimpin dan rakyat mempunyai ciri-ciri keusahawanan yang tinggi. Antara ciri yang diperlukan ialah daya juang, kompetitif, tabah dan sanggup menghadapi cabaran
Dalam sebuah negara keusahawanan, pemimpin dan rakyat melihat mereka perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk membina masa depan yang gemilang.
Sekiranya rakyat memeluk tubuh dan mengharapkan kerajaan melakukan segala-galanya untuk mereka, maka itu bukanlah negara keusahawanan.
Dalam negara keusahawanan, rakyat bekerja membangunkan ekonomi dan masa depan sendiri. Ini adalah merupakan satu cabaran kerana dalam konteks Malaysia kerajaan menyediakan pelbagai perkara untuk rakyat.
Ambil pekerjaan, sebagai contoh. Sektor awam (termasuklah GLC) menyediakan peluang pekerjaan yang besar kepada rakyat. Begitu juga sumbangan sektor awam kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga tinggi.
Untuk beralih kepada sebuah negara keusahawanan, rakyat seharusnya digalakkan mewujudkan peluang pekerjaan sendiri. Di sinilah kita seharusnya menggalakkan perkembangan bisnes kecil.
Pengusaha bisnes kecil bukan saja menyediakan pekerjaan untuk diri sendiri tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan untuk orang lain. Di Malaysia ada hampir satu juta pengusaha bisnes kecil.
Sekiranya setiap bisnes menyediakan peluang pekerjaan untuk tiga orang, itu bermaksud tiga juta peluang pekerjaan disediakan untuk rakyat. Tiga juta peluang pekerjaan adalah sesuatu yang besar.
Selain itu, bisnes kecil juga menyumbang kepada ekonomi setempat. Usahawan di Sik, Besut atau Kodiang, akan mendapatkan bahan mentah dari pembekal setempat. Dia juga mengambil pekerja dari tempat itu. Dan, keuntungan bisnes itu dibelanjakan di tempat yang sama.
Ini bermaksud ramai pihak mendapat manfaat apabila bisnes kecil berkembang. Dan, apa yang lebih penting ialah ekosistem keusahawanan itu menyumbang kepada pembangunan negara keusahawanan yang disebut terdahulu.
Untuk membangunkan negara keusahawanan, minda penjawat awam hendaklah berubah. Mereka tidak seharusnya melihat bisnes kecil sebagai mengganggu. Atau, menyusahkan kerja mereka. Sebaliknya, mereka hendaklah memahami keperluan bisnes dan memudahcara.
Sebenarnya keperluan bisnes kecil tidaklah besar. Mereka mungkin memerlukan lesen, lokasi, bimbingan dan modal bisnes.Kesemua ini tidaklah terlalu sukar untuk disediakan, sama ada oleh agensi kerajaan pusat, negeri atau pihak berkuasa tempatan.
Sekiranya kita dapat mewujudkan critical mass bisnes kecil yang mempunyai ciri-ciri keusahawanan yang tinggi, maka kita dapat membina rakyat yang mempunyai jiwa keusahawanan.
Keusahawanan bukanlah satu pekerjaan. Usahawan bukan jawatan. Keusahawanan ialah budaya dan cara hidup.Dalam sebuah negara keusahawanan, semua orang bersaing untuk menjadi yang terbaik. Kita bersaing sesama sendiri. Dan kita juga bersaing dengan orang luar.
Persaingan ini boleh berlaku jika kita menggalakkan rakyat menjadi kompetitif. Untuk permulaan, kita harus melakukan anjakan dengan berusaha sendiri.
Saya tidak nampak ada cara yang lebih baik untuk memupuk negara keusahawanan, melainkan dengan mendukung semangat persaingan dan survival melalui bisnes kecil.
* Norizan Sharif ialah Chief Explorer Officer, Enescorp International LLC, iaitu sebuah perusahaan sosial yang menerokai pasaran untuk perusahaan kecil Malaysia di Amerika Syarikat
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment