30 hari kerajaan negeri

Wednesday, June 13, 2018

30 hari kerajaan negeri

30 hari kerajaan negeri

SEBULAN selepas PRU14, penilaian kini boleh dilakukan ke atas prestasi 13 kerajaan negeri. Setakat ini, kerajaan Pas Terengganu pimpinan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ialah kerajaan yang paling berprestasi tinggi, diikuti Sabah pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal (Warisan) di tempat kedua, dan Melaka yang diketuai MB Adly Zahari (Amanah) di tempat ketiga.

Berdasarkan analisis risiko politik dan perancangan ekonomi politik, kerajaan Pas Terengganu kini mendahului dengan moto ‘Terengganu Maju, Berkat, dan Sejahtera’.

Pelbagai inisiatif mula digerakkan seperti Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) yang menjadi model polisi dan pentadbiran negeri jangka panjang yang menekankan prinsip pengasingan fungsi antara badan politik dan kuasa ekonomi, pembaharuan dasar yang menyasarkan peningkatan kualiti hidup (pemansuhan cukai pintu, air percuma 20m padu bersasar), pemulihan produk pelancongan, perancangan industri maritim, gas dan petroleum.

Sabah pula telah mengajukan pemerkasaan industri perikanan seperti membenarkan semula bot pam, di samping mengusahakan pengeluaran lesen perikanan laut dalam untuk dipindahkan dari Pusat ke negeri Sabah.  

Langkah semakan semula ke atas pentadbiran sebelum ini turut dilakukan secara agresif. Dasar seperti menghentikan sementara eksport pembalakan untuk dinilai impak alam sekitarnya membuka dimensi urus tadbir baharu di negeri Bawah Bayu itu.  

Kerajaan Amanah Melaka pimpinan YAB Adly Zahari pula memperkenalkan slogan ‘Melaka Berwibawa’ dengan tiga tema, ‘Pintar, Hijau, Bersih’.  

Beliau mewujudkan Jawatankuasa Kompetensi, Akauntabiliti, dan Ketelusan Melaka, memansuhkan dan menyusun semula 8 jabatan/bahagian/unit, mempermudah urusan Kewangan Japerun, dan juga menukar status tanah orang Melayu bertaraf  leasehold ditukar ke Malay Customary Land.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow meletakkan negeri tersebut di tangga keempat dengan fokus Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, bekalan air di Selatan Pulau Pinang, meneruskan Penang Transport Master Plan, dan juga projek pulau buatan hasil tambakan laut Bayan Lepas untuk keperluan 30 tahun mendatang.  

Kerajaan negeri Selangor pula berada di tangga kelima susulan ketidaktentuan yang berlanjutan tentang pengganti Datuk Azmin Ali (PKR) sebagai Menteri Besar. Namun Inisiatif Peduli Rakyat di bawah rancangan Smart Selangor  kini masih disalurkan.

Kerajaan Pas Kelantan belum menampakkan inisiatif pembangunan sosioekonomi besar-besaran di sebalik fokus program spiritual Ramadan. Meski pun demikian, ia tetap stabil dan impak royalti petroleum yang bakal disalurkan terus kepada kerajaan negeri juga bakal menjadi game changer.

Kerajaan BN Pahang pula di tangga ketujuh disebabkan masih tiada perancangan hala tuju di bawah MB baharu.

Kerajaan PKR Negeri Sembilan pimpinan Aminuddin Harun (PKR) pula berada di tangga kelapan, diikuti kerajaan Johor di bawah Datuk Osman Shapian (PPBM) yang berada di kedudukan kesembilan.

MB Negeri Sembilan bertindak agak bertentangan dengan semangat reformasi apabila menimbulkan gerun kepada pegawai kerajaan negeri yang menghadiri program anjuran Umno-BN.  

Demikian juga MB Johor yang sebelum ini berikrar untuk tidak memberi peruntukan kepada kawasan pembangkang. Malah, beliau turut melantik bekas ahli Umno sebagai pegawai kanan dan mengetepikan individu berkelayakan dalam PH sendiri.  

Kerajaan Perak pimpinan Ahmad Faizal Azumu (PPBM) berada di kedudukan ke-10. Langkah MB banyak menimbulkan perasaan kurang senang sesama parti Pakatan, bukan sahaja adik ipar beliau (Umno) diterima mudah menyertai kerajaan PH, malah bertindak melantik seorang lagi bekas Adun dan Exco Umno Perak iaitu Zainol Fadzi sebagai Penasihat Menteri Besar.

Kerajaan Sarawak di bawah Abang Johari Abang Openg (PBB) yang berusaha menyertai Pakatan Harapan (PH) telah menimbulkan potensi konflik dalaman PBB dan perseteruan tiga penjuru PBB-PKR-DAP. Maka kerajaan negeri Sarawak jatuh di tangga ke-11.  

Kedah yang diketuai Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PPBM) pula berada di kedudukan ke-12. Hal ini disebabkan desas-desus pilihan raya negeri  mungkin terpaksa dilakukan jika pelantikan Speaker Dun Kedah gagal diselesaikan.

Perlis yang bergolak di bawah kepimpinan Datuk Azlan Man (Umno) menyaksikan di kedudukan terbawah iaitu tangga ke-13.

* Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment