Import lembu, kerbau tampung permintaan daging segar

Monday, June 11, 2018

Import lembu, kerbau tampung permintaan daging segar

Import lembu, kerbau tampung permintaan daging segar

PASIR GUDANG - Sebanyak 2,435 ekor lembu baka Brahma dan kerbau import dari Australia dibawa masuk ke Pelabuhan Johor, di sini, bagi menampung permintaan daging segar sepanjang Hari Raya Aidilfitri.

Kesemua ternakan tersebut diimport khas Ternakan Kamran Sdn Bhd untuk pasaran seluruh Semenanjung sempena hari lebaran yang dibawakan Kapal Livestock dari Darwin, Australia.

Pengarah Pembangunan Perniagaan Antarabangsa Kumpulan Kamran, Datuk Hatta Amirrul Amran berkata, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 300 ekor merupakan kerbau.

“Sebanyak 2,435 lembu dan kerbau ini beratnya 1,200 tan metrik. Lembu Brahma baka India ini adalah lembu pedaging yang berkualiti dan mendapat permintaan pasaran yang tinggi.

“Permintaan daging lembu dan kerbau pada Aidilfitri kali ini kita dapati meningkat kira-kira 20 peratus berbanding permintaan Aidilfitri pada tahun lalu,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pengarah Eksekutif Ternakan Kamran Sdn Bhd, Datuk Raghu Loganathan Pillay.

Hatta Amirrul berkata, lembu dan kerbau itu diagihkan terus kepada peruncit sejurus tiba, manakala selebihnya disimpan sementara di ladang ternakan DK Ternak Pertanian Moden Kluang.

Katanya, permintaan dan pasaran yang paling tinggi adalah di Kelantan, Terengganu serta Pahang diikuti negeri lain.

Ternakan Kamran Sdn Bhd merupakan pengimport daging terbesar di Malaysia.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment