Dua anggota tentera maut

Tuesday, June 26, 2018

Dua anggota tentera maut

Dua anggota tentera maut

GERIK - Dua anggota tentera maut manakala dua lagi cedera parah apabila sebatang pokok menghempap mereka yang sedang tidur semasa menjalankan operasi di hutan Royal Belum, di sini, malam kelmarin.

Dua anggota yang maut adalah Mohd Safuan Hassan, 30, dan Fahrurazi A Manaff, 32, manakala Mohd Haisol Kamsiran dan Willian Nisau Anak Atong mengalami kecederaan parah di kaki dan luka-luka di badan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa mengesahkan laporan kejadian tersebut yang diterima kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Menurutnya, pada jam 10.30 pagi, pengadu yang juga pegawai tentera menerima maklumat mengatakan terdapat anggota mengalami kecederaan kerana dihempap pokok semasa operasi di kawasan tersebut.

“Pegawainya bersama lima anggota lain meninjau kawasan dikatakan berlakunya kemalangan itu. Kedua-dua mangsa yang maut dipercayai mendirikan khemah di bawah pokok besar itu.

“Hujan lebat dan ribut pada malam kejadian menyebabkan pokok tersebut tumbang dan menghempap kedua-dua mangsa yang sedang tidur. Kedua-duanya disahkan mati di tempat kejadian.

“Manakala dua lagi mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kaki. Kira-kira jam 12.40 tengahari, pegawai, seorang doktor serta anggota tentera tiba di lokasi kejadian dan memberi bantuan kecemasan kepada mangsa,” katanya.

Tambah Ismail, anggota tentera itu kemudiannya membuat laporan polis memaklumkan terdapat dua anggota meninggal dunia dan dua lagi cedera dalam insiden itu.

“Siasatan awal polis mendapati tempat kejadian sangat gelap dan hujan serta ribut berlaku pada malam kejadian. Mangsa yang cedera tidur bersebelahan dengan mangsa yang maut.

“Semua jenazah dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat manakala mangsa cedera dibawa ke Hospital Taiping untuk menerima rawatan lanjut.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan patah beberapa tulang rusuk dan pendarahan dalam peparu disebabkan ditimpa pokok,” ujarnya.

Ismail turut mengesahkan tiada penemuan sebarang unsur jenayah dalam kes tersebut.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment