Ahli Umno, Pas keluar parti
PASIR PUTEH - Umno Cawangan Gong Chapa, Pulau Sa dan Temila B dalam Dun Gaal ranap apabila ahli jawatankuasa dan sebahagian ahlinya bertindak keluar parti beramai-ramai untuk bersama Pakatan Harapan (Harapan), hari ini.
Wakil mereka, Ghani Hussin berkata, sekurang-kurangnya 100 penduduk dari ketiga-tiga cawangan itu bersepakat untuk meninggalkan Umno yang dianggap tidak lagi relevan kepada mereka.
Katanya, tindakan 'orang-orang kuat' di setiap cawangan itu bakal mempengaruhi ahli lain untuk keluar dari parti berkenaan.
"Saya sudah 26 tahun di dalam Umno tetapi akhirnya saya kecewa dengan pimpinan tertinggi yang rakus, saya lihat Umno tidak akan ke mana," katanya.
Ghani yang merupakan Ketua Cawangan Umno Gong Chapa dan Ketua Pusat Daerah Mengundi Umno Temila sebelum ini berkata, soal nak sertai parti mana dalam Harapan, itu soal lain, apa yang penting sekarang ini katanya, mereka sudah keluar dari Umno.
Bekas Ketua Umno Cawangan Temila B, Tengku Aziz Tuan Yusof berkata, beliau menyatakan hasrat meletakkan jawatan ketua cawangan tetapi tiada siapa yang mahu menggalasnya.
'Saya melihat kerajaan baharu ini jelas lebih baik, akhirnya saya bersama ahli jawatankuasa di cawangan bersepakat untuk keluar parti," katanya.
Pendapat itu disokong bekas Ketua Umno Cawangan Pulau Sa, Saufi Ibrahim yang melahirkan rasa kecewa dengan pimpinan Umno yang tidak amanah dan mengkhianati rakyat.
Katanya, beliau sayang kepada Umno tetapi mesti bertindak keluar dari parti itu yang sudah lari dari perjuangan asalnya.
Gelombang keluar parti beramai-ramai itu diperkuatkan dengan tindakan sebahagian ahli Pas Cawangan Gong Chapa yang diketuai bekas Penghulu Mukim Gong Chapa, Wan Rosli Ismail meninggalkan Pas.
Wan Rosli berkata, beliau tidak mampu lagi bertahan apabila pimpinan Pas bertindak tanpa mengambil kira sensitiviti ahli di peringkat akar umbi.
"Pas sekarang jauh berbeza dengan zaman Tok Guru (Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat), nak kembalikan semula era itu agak mustahil dan saya mengambil keputusan untuk tinggalkan Pas selepas 35 tahun bersama parti itu," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment