Abang mengamuk rosakkan kereta adik dengan tukul

Tuesday, June 26, 2018

Abang mengamuk rosakkan kereta adik dengan tukul

Abang mengamuk rosakkan kereta adik dengan tukul

KUALA TERENGGANU - Hanya disebabkan salah faham kecil, seorang abang tergamak bertindak merosakkan kereta adik lelakinya menggunakan tukul, dalam kejadian di Kampung Gong Pauh, di sini, Sabtu lalu.

Kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu berlaku selepas mangsa, 41, bertikam lidah dengan suspek, 40-an, kerana tidak berpuas hati berkaitan perselisihan faham sebelum ini.

Menurut sumber, pertengkaran mulut itu berlarutan apabila suspek yang gagal mengawal emosi amarahnya bertindak ‘menyerang’ kereta jenis Kenari milik mangsa yang diparkir di hadapan rumah.

“Suspek seperti dirasuk apabila bertindak memecahkan lampu signal hadapan di sebelah kanan menggunakan tukul.

“Tidak cukup dengan itu, suspek turut mencalarkan bahagian tepi kereta sebelah kanan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumber berkata, bengang dengan tindakan melampau suspek yang tergamak merosakkan harta bendanya, mangsa nekad membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, mangsa juga bimbang keselamatan diri dan keluarganya pada masa akan datang.

“Mangsa mendakwa suspek yang cukup dikenali seorang yang panas baran dan kuat berdendam mungkin boleh bertindak di luar jangkaan tanpa menghiraukan darah daging sendiri,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Menurutnya, kes berkenaan masih dalam siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment