TVET masih banyak pincang

Thursday, February 1, 2018

TVET masih banyak pincang

TVET masih banyak pincang

SHAH ALAM - Pelaksanaan Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia dilihat masih banyak kepincangan walaupun perancangannya cantik dan gah.

Pengerusi Gabungan Institut Latihan Kemahiran Swasta Bumiputera (GILKSB), Nordin Abdul Malek berkata, antaranya ialah isu dana pembiayaan pelatih yang saban tahun semakin berkurangan sedangkan trend pengumuman peruntukan dalam bajet tahunan meningkat.

“Dalam Bajet 2015 sebanyak RM3.6 bilion kemudian naik RM 4.6 bilion (Bajet 2016), RM4.8 bilion (Bajet 2017) dan RM4.9 bilion (Bajet 2018). Tetapi, hairannya trend pinjaman pelatih semakin menurun.

“Pada 2017, kita dapat RM200 juta untuk peruntukan pinjaman, tetapi hanya cukup untuk 17,000 pelajar saja sedangkan permintaan lebih 70,000 orang. Tahun ini, jumlah pinjaman menurun kepada RM175 juta di mana hanya RM125 juta untuk dikongsikan dengan pusat-pusat latihan swasta,” katanya pada sesi siaran langsung di Facebook Sinar Harian, semalam.

Turut hadir, Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia, Rizan Hassan dan  Pengerusi Malaysian Community Care Foundation (MCCF), Halim Ishak.

Mengulas lanjut, Nordin berkata, timbul persoalan mengenai ke mana peruntukan tersebut disalurkan.

“Bagaimana bajet makin meningkat tetapi tidak sampai kepada pelajar? Ke manakah RM4.9 bilion ini, adakah ia lebih kepada pembangunan, pengurusan atau lain-lain?

“Sudah tentu yang terkesan adalah pelajar kita yang ramai di luar sana. Daripada 450,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), 250,000 pelajar yang tidak ke mana-mana dan tiada pendidikan selepas SPM,” katanya.

Selain itu, katanya, isu akreditasi dan pentauliahan juga antara yang sering diadukan pelajar dan ibu bapa.

“Kerajaan menjalankan kolej vokasional tetapi masih ada lagi soal pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Hujung tahun lepas pula timbul masalah baru iaitu kerajaan melaksanakan program vokasional menengah atas (PVMA) di sekolah harian.

“Bagaimanapun, kami dapat aduan ada sekolah yang tidak ditauliahkan. Ini akan menjejaskan 6,000 pelajar yang sepatutnya dapat Sijil Kemahiran Malaysia,” katanya.

Susulan itu, beliau mencadangkan kerajaan mengambil tindakan serta-merta mencari penyelesaian jangka panjang dalam isu TVET.

“Kami berterima kasih kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot yang memberi respons. Tetapi banyak persoalan di peringkat pelaksanaan masih tidak dijawab.

“Apa yang berlaku ialah tiada perancangan yang komprehensif. Kita mungkin didodoikan dengan dasar inklusif dan trend masa depan, tetapi ada 1,001 masalah  yang belum selesai,” katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment