Tuntutan peneroka Ijok bukan urusan kerajaan negeri - Azmin

Monday, February 19, 2018

Tuntutan peneroka Ijok bukan urusan kerajaan negeri - Azmin

Tuntutan peneroka Ijok bukan urusan kerajaan negeri - Azmin

SHAH ALAM: Isu peneroka dan tanah Ijok bukan lagi urusan kerajaan negeri, selepas mereka sendiri bersetuju melepaskan tanah masing-masing dan menerima tawaran pemaju.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata peneroka ada sama ketika perjanjian jual tanah kepada dua syarikat itu dan menerima tawaran yang diberikan pemaju.

"Peneroka yang mana (yang tidak berpuas hati)? Siapa mereka? Berikan nama mereka kepada saya. Mereka berada di sana ketika perjanjian itu ditandatangani dan mereka tandatangan serta menerima tawaran itu. Jadi, apa isunya sekarang?

"Ini tidak ada kena mengena dengan kerajaan negeri. Kami hanya membantu perjalanan perjanjian itu untuk memastikan peneroka dilindungi," dakwanya yang ditemui di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin mendakwa, kepemimpinan kerajaan negeri yang terdahulu, sebenarnya yang gagal menangani isu terbabit selama lebih 20 tahun.

"Mengapa mereka menyalahkan kami yang menyelesaikan masalah ini? Saya tidak faham," katanya.

Sebelum ini, beberapa peneroka tanah di Ijok menyatakan perasaan tidak puas hati mereka terhadap pampasan sebanyak RM180,000 bagi setiap pemilik tanah, yang dibayar kepada mereka.

Mereka mendakwa pampasan itu rendah kerana dibayar berdasarkan penilaian tanah berkeluasan 880 hektar itu pada tahun 2000, sedangkan tanah berkenaan dijual kepada pemaju mengikut harga pasaran semasa.

Pada masa sama, peneroka terbabit juga tidak berpuas hati dengan jenis dan saiz rumah yang ditawarkan, yang didakwa bukan sesuatu yang dijanjikan kepada mereka sebelum ini oleh kerajaan negeri.

Peneroka dan pemilik tanah juga merayu supaya kerajaan negeri campur tangan bagi memastikan pemaju membayar penalti bagi kelewatan membina kediaman mereka.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Selangor menyindir Barisan Nasional (BN) Selangor yang disifatkan sebagai gagal memahami kepentingan menjaga dan memulihara alam sekitar.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, semalam bahawa BN Selangor bercadang memperkenalkan dasar mewajibkan peniaga membayar 20 sen kepada pengguna yang membawa sendiri beg ketika beli-belah, jika berjaya menawan Selangor dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Noh yang juga Pengerusi BN Selangor, dilaporkan berkata, kempen bebas beg plastik dan polisterina oleh Kerajaan Selangor ketika ini hanya satu kegagalan kerana tiada pengurangan penggunaan bahan terbabit yang drastik di negeri itu, walaupun dikuatkuasakan sejak 1 Januari tahun lalu.

Ahli Parlimen Tanjung Karang itu juga mempersoalkan ke mana semua wang caj yang dikutip hasil penjualan beg plastik di pasar raya, kedai dan premis makanan.

Mohamed Azmin mendakwa, kenyataan BN Selangor itu menunjukkan bahawa mereka tidak memahami keperluan penduduk dan alam sekitar ketika ini.

"BN sudah berkuasa selama 60 tahun, tetapi masih tidak melakukan sesuatu untuk melindungi alam sekitar dan menjaga kepentingan rakyat. Jadi, biar rakyat menilai (kenyataan ini)," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment