Suami rayu isteri pulangkan anak

Thursday, February 1, 2018

Suami rayu isteri pulangkan anak

Suami rayu isteri pulangkan anak

LUMUT - Pilu hati seorang ayah apabila mengenangkan nasib anaknya yang tidak dijumpai sejak lebih kurang tiga tahun lalu setelah isterinya membawa keluar anak mereka dari rumahnya di Kampung Padang Tembak dan tidak pulang hingga sekarang.

Muhammad Ali Abdullah, 38, merayu agar isterinya yang dikenali sebagai Putria, 32, warganegara Indonesia supaya membawa pulang semula anak mereka Ahmad King Lee, 5, ke rumah kerana dia begitu merindui anak tunggal mereka itu.

Muhammad Ali berkata, dia menyedari kehilangan isterinya ketika pulang dari kerja pada jam 9.30 pagi kira-kira tiga tahun lalu (2015).

“Ketika itu saya baru pulang dari kerja dan melihat pintu rumah sudah terbuka. Saya mencari isteri serta anak yang berusia dua tahun ketika itu namun mereka sudah tidak ada di rumah.

“Semua pakaian juga mereka sudah dibawa termasuk seutas rantai dan sebentuk cincin emas selain wang tunai RM500 turut dibawa bersama,” katanya yang telah membuat laporan polis sehari selepas kehilangan anaknya itu.

Katanya, dia begitu merindui anaknya yang telah lama tidak berjumpa dan sudah berusaha mencari di beberapa lokasi namun tidak berjumpa.

“Saya cuba mencari mereka namun tidak berjumpa dan ada yang mengatakan mereka ada di Ipoh tetapi tidak diketahui lokasinya.

“Saya risau dengan keadaan anak saya kerana segala dokumen termasuklah sijil lahir dan Mykid ada dalam simpanan saya,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Muhammad Ali berkata, dia ada mempunyai selisih faham dengan isterinya namun tidak menyangka isterinya bertindak melarikan diri.

“Sebelum ini memang kami ada selisih faham namun tidak sangka dia melarikan diri bersama anak begitu sahaja.

“Saya juga khuatir jika dia melarikan anak kami ke negara Indonesia kerana saya sendiri tidak pernah pergi dan berjumpa ahli keluarganya di sana,” katanya.

Katanya, dia merayu agar isterinya membawa anak itu pulang ke pangkuannya kerana anak berkenaan bakal bersekolah.

“Saya mahu melihat anak saya kerana sudah lama tidak  berjumpa dan saya mahu anak saya bersekolah seperti anak-anak lain.

“Jika sesiapa yang tahu di mana anak saya berada boleh menghubungi saya di talian 01137890187 kerana saya ingin berjumpa dan menjaganya semula,” katanya yang tinggal di Kampung Padang Tembak.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment