Saya boleh jaring lebih gol - Batshuayi

Saturday, February 3, 2018

Saya boleh jaring lebih gol - Batshuayi

Saya boleh jaring lebih gol - Batshuayi

BERLIN: Michy Batshuayi meledak dua gol pada penampilan sulungnya di Borussia Dortmund yang menewaskan kelab tercorot Cologne 3-2 dalam aksi Bundesliga Jerman, awal pagi tadi.

Selepas hanya dua hari dipinjamkan dari Chelsea, pengurus Dortmund, Peter Stoeger, yang dipecat oleh Cologne pada Disember lalu meletakkan kepercayaan buat penyerang Belgium itu bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Pierre-Emerick Aubameyang.

Dortmund menjual penyerang berbisanya itu kepada Arsenal dengan yuran perpindahan $79 juta (RM307.10 juta) sebelum kemudian menandatangani Batshuayi beberapa jam dengan perjanjian sehingga Mei.


PEMAIN Dortmund, Michy Batshuayi (dua dari kanan) meraikan gol jaringannya bersama rakan ketika menentang Cologne pada saingan Bundesliga di Cologne, sebentar tadi. - Foto EPA-EFE

"Saya amat gembira, tetapi paling penting ialah kemenangan," kata Batshuayi kepada Eurosport. "Ia perlawanan pertama saya, ia akan sentiasa menjadi amat sukar.

"Saya boleh menjaringkan lebih gol tetapi paling utama ialah kemenangan dan tiga mata. Sasaran saya dengan Dortmund adalah kekal menang, menamatkan saingan setinggi yang boleh untuk berpeluang beraksi di Liga Juara-Juara musim depan."

Selepas hanya menjaringkan 12 gol untuk Chelsea musim ini, Batshuayi membuka tirai jaringannya pada minit ke-35.

Cologne menyamakan kedudukan selepas sejam perlawanan berlangsung tetapi pemain berusia 24 tahun, Batshuayi menunjukkan ketenangannya untuk mengembalikan kelebihan Dortmund kurang dua minit aksi berselang.

Dia berpeluang menamatkan perlawanan dengan hatrik apabila berjaya merobek gawang Cologne seminit sebelum rehat tetapi Video Bantuan Pengadil (VAR) mengatakan jaringannya adalah ofsaid.

Cologne menyamakan kedudukan buat kali kedua apabila Jorge Mere menanduk masuk gol pada minit minit ke-69 tetapi hantaran Batshuayi kepada seorang lagi bekas pemain Chelsea, Andre Schuerrle pada minit ke-84 mengesahkan kemenangan Dortmund.

Kemenangan di laman Cologne itu menamatkan deretan tiga keputusan seri berturut-turut yang dilakar Dortmund sebelum ini. - AFP



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment