Bukan rezeki Lang Merah

Saturday, February 3, 2018

Bukan rezeki Lang Merah

Bukan rezeki Lang Merah

SKUAD Lang Merah memberi tentangan hebat meskipun gagal mempertahankan trofi Piala Sumbangsih selepas tewas 2-1 kepada Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi di Stadium Larkin, Johor Bahru, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan pasukan Kedah tidak berjaya mengulangi pencapaian sama dengan menewaskan skuad Harimau Selatan pada Piala Sumbangsih 2017.

JDT beberapa kali memberi ancaman ke atas kawasan Kedah menerusi gerakan berbahaya antara Safiq Rahim, Luciano Figueroa, Jorge Pereyra Diaz dan Gonzalo Cabrera.

Bagaimanapun pertahanan Skuad Lang Merah diketuai Khairul Helmi Johari dan penjaga golnya, Mohd Ifwat Akmal beraksi dengan baik untuk menggagalkan percubaan dilakukan JDT.

Pasukan kendalian Ramon Marcote tidak menunggu lama untuk mendahului menerusi jaringan Pablo Pallares pada minit ke-15 yang menerima lambungan Sandro Da Silva.

JDT bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan kencang Figueroa pada minit ke-29, hasil sepakan percuma Safiq.

Skuad Harimau Selatan terus menghukum Kedah apabila tandukan Marcos Antonio pada m-58 hasil hantaran La’Vere Corbin Ong gagal dijangkau Mohd Ifwat yang kemudiannya menerjah gawang.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Skuad Lang Merah menggandakan asakan menerusi gerakan gandingan Pallares, Baddrol Bakhtiar, Liridon Krasniqi, Sandro dan Mohd Syazwan Zainon.

Malah bagi melancarkan jentera serangan pasukan dan mencari jaringan penyamaan, Marcote turut memasukkan Muhd Farhan Roslan bagi menggantikan Mohd Syazwan pada m-72.

Selepas mendahului menerusi dua jaringan, pasukan bimbingan Ulisses Morais menukar rentak permainan dengan lebih banyak bertahan dan mengekang asakan Kedah.

Berakhir 90 minit permainan, Skuad Lang Merah gagal menemui jaringan penyamaan sekali gus terpaksa akur dengan kekalahan 2-1 kepada JDT.

Kekalahan itu menyaksikan Kedah berputih mata untuk merangkul Piala Sumbangsih 2018 selain terlepas peluang meraih tiga mata penuh yang pertama bagi saingan Liga Super musim baharu.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment