Saingan dijangka berpihak kepada UMNO

Sunday, February 18, 2018

Saingan dijangka berpihak kepada UMNO

Saingan dijangka berpihak kepada UMNO

KUALA LUMPUR: Pertembungan tiga penjuru di lebih 100 kawasan Parlimen tidak akan menjejaskan jumlah undi di kawasan majoriti Melayu.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff, berkata undi majoriti Melayu tidak akan merosot walaupun ada pertembungan tiga penjuru kerana kesedaran tinggi dalam kalangan pemilih.

Beliau berkata, selain itu kepercayaan pengundi kepada pakatan pembangkang tidak mampu meyakinkan pengundi Melayu bahawa mereka akan mampu membela kepentingan Melayu Islam jika berkuasa.

Katanya, apa yang Barisan Nasional (BN) boleh buat untuk memastikan kemenangan lebih mantap adalah dengan menonjolkan segala usahanya dalam memperjuangkan kepentingan Melayu Islam di negara ini yang ada selama ini dan pada masa depan.

Tonjol permasalahan pembangkang

"BN juga perlu menonjolkan segala permasalahan pakatan pembangkang yang menyebabkan mereka tidak akan dapat memerintah dengan baik, malah akan membawa negara ke kancah ketidakstabilan, jika mendapat kuasa," katanya.

Beliau yang juga Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), berkata pertembungan tiga penjuru itu sebenarnya memberi kelebihan kepada BN.

Justeru, katanya, BN perlu meminimumkan peluang untuk sabotaj sesama sendiri dengan mengekalkan calon menang sedia ada kecuali mereka yang diketahui mempunyai masalah dengan pengundi.

Beliau percaya PRU kali ini menyaksikan kerusi Parlimen bukan hanya menjadi rebutan untuk saingan tiga penjuru, tetapi lebih daripada itu.

"Hampir semua kerusi sebenarnya akan berlaku saingan tiga penjuru dan lebih, " katanya.

Tumpu kawasan kerusi kelabu

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, BN perlu memberi tumpuan kepada pengurusan kerusi mikro yang dianggap kerusi kelabu (memenangi kurang daripada 10 peratus majoriti).

"Ini untuk memastikan tiada sabotaj, pertentangan dalaman, undi protes daripada ahli dan untuk meyakinkan pengundi atas pagar untuk mengundi mereka.

"Antara kerusi kawasan kelabu ialah Pendang, Ketereh, Setiawangsa dan Padang Terap," katanya sambil menambah bahawa jentera parti yang berdedikasi dan teratur, pemilihan calon dan isu-isu tempatan akan menentukan pola pengundian.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, pula berkata saingan tiga penjuru dijangka lebih memihak kepada BN tetapi bergantung juga kepada kawasan sama ia menjadi kubu kuat UMNO atau tidak.

Katanya, dalam pertandingan tiga penjuru di antara UMNO, PAS dan PPBM, kelebihan berpihak kepada UMNO.

"Di Parlimen Sembrong di Johor misalnya, BN boleh menang menewaskan PPBM kerana kerusi itu dianggap kubu kuat UMNO dan BN. Di Pagoh, cabaran BN mungkin sukar tapi tidak mustahil untuk menang kerana Pagoh sudah lama dikuasai BN. Tetapi faktor Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin adalah cabaran terbesar BN untuk menang di kawasan itu.

"PAS hanya menjadi pemecah undi. Apa yang dapat dirumuskan semuanya bergantung kepada negeri mana benteng BN kuat atau kubu kuat PAS atau PKR.

"Semua bergantung juga kepada kawasan bandar, luar bandar atau pinggir bandar," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment