Buruh warga Indonesia dikhuatiri lemas

Sunday, February 18, 2018

Buruh warga Indonesia dikhuatiri lemas

Buruh warga Indonesia dikhuatiri lemas

GUA MUSANG - Seorang buruh warga Indonesia dikhuatiri lemas ketika memancing bersama empat rakannya di Sungai Cekor, Sungai Chiku, pagi semalam.

Mangsa, Nikolaus Ama, 32, yang bekerja di Ladang Serasa, dikatakan terjatuh ke dalam sungai ketika sedang mengejar seekor binatang dipercayai babi di kawasan berhampiran.

Menurut rakannya yang dikenali sebagai Fransiskus, ketika sedang memancing pagi semalam, mangsa tiba-tiba ternampak seekor binatang (babi) lalu bertindak mengejar haiwan tersebut.

"Namun, ketika sedang mengejar binatang itu, mangsa terjatuh ke dalam sungai berhampiran.

"Mangsa pernah memberitahu yang dia tidak tahu berenang dan kami sempat melihat mangsa melambai-lambai tangan dalam air sebelum dihanyutkan arus air.

"Kami segera mendapatkan bantuan untuk menghubungi pihak berkuasa," katanya lagi.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Mohd Yussalmi Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.30 pagi semalam.

"Psukan menyelamat (SAR) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bersama anggota bomba dan APM tiba di lokasi kejadian pada jam 12.30 tengahari.

"Teknik pencarian adalah menyusuri sungai dan fokus pencarian adalah tebing-tebing sungai yang dipercayai tempat mangsa terjatuh.

"Kawasan pencarian adalah melalui Sungai Nenggiri sejauh lima kilometer (km) dan menyelusuri Sungai Galas sejauh dua kilometer (km) dan seterusnya Sungai Cekor sejauh 5km," katanya.

Bagaimanapun, usaha pencarian gagal dan operasi disambung pada pagi ini melibatkan 18 anggota termasuk pegawai.

"Keadaan sungai yang luas menyukarkan pencarian dan komander operasi mencadangkan pasukan skuba dan bot untuk masuk melalui kawasan Bertam iaitu Sungai Nenggiri.

"Jarak yang jauh dan masalah kayu balak menyukarkan untuk bot bergerak masuk. Keadaan sungai yang berbatu dan air yang cetek juga menyukarkan operasi pencarian," katanya lagi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment