Pemuda UMNO Perak yakin BN akan menang lebih kerusi

Tuesday, February 27, 2018

Pemuda UMNO Perak yakin BN akan menang lebih kerusi

Pemuda UMNO Perak yakin BN akan menang lebih kerusi

IPOH: Pemuda UMNO Perak yakin Barisan Nasional (BN) bukan sahaja dapat mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi di negeri itu malah merampas kembali kerusi tertentu dimenangi pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketuanya, Khairul Shahril Mohamed, berkata meskipun Pemuda pakatan pembangkang yang dianggotai Parti Amanah Negara (AMANAH), DAP, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebelum ini menyatakan keyakinan mereka untuk merampas beberapa kerusi yang BN menang tipis pada PRU13, namun gerak kerja BN di kawasan itu sudah lama dilakukan.

Katanya, justeru katanya BN mampu menang lebih banyak kerusi dengan sasaran 34 kerusi DUN berbanding 31 kerusi pada PRU13.

"Mungkin di kerusi yang bukan dikuasai UMNO, khususnya di kawasan pengundi majoriti Cina, sukar untuk merampas semula kerusi yang sebelum ini pernah dimenangi MCA dan Gerakan, namun di kawasan di kuasai UMNO dan majoriti pengundi Melayu, ia insya-Allah dapat dikekalkan dengan majoriti undi lebih baik.

"Kita yakin untuk mengekalkan semua kerusi berkenaan malah menambah kerusi DUN kerana kita sudah menjalankan gerak kerja sudah lama dan kita tahu keadaan di kawasan itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pemuda DAP Perak menyuarakan keyakinan mereka bahawa pakatan pembangkang dapat merampas lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU akan datang yang sebelum ini dimenangi BN melalui UMNO dengan majoriti tipis.

Ketuanya, Wong Kah Woh dilaporkan berkata lapan kerusi terbabit ialah Manjoi, Kubu Gajah, Kamunting, Lubok Merbau, Manong, Rungkup, Changkat Jong dan Pasir Panjang.

Khairul Shahril yang juga Timbalan Pengerusi Pemuda BN Perak berkata, pendekatan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang melaksanakan Program Pemukiman dan Jelajah Menteri Besar di seluruh daerah turut memberikan kesan positif dan keyakinan dalam kalangan pengundi.

Dalam pada itu, ditanya sama ada Pemuda BN akan meletakkan lebih ramai calon baharu bertanding pada PRU kali ini, beliau berkata pihaknya yakin lebih ramai calon muda akan diketengahkan.

"BN mempunyai ramai calon yang berkelayakan, kita mahu menang dan yang akan menentukan kemenangan pada PRU kali ini adalah orang muda atau pengundi muda.

"Jika kita mahukan undi orang muda, mahu tidak mahu, kita kena letakkan calon yang memahami kehendak dan aspirasi mereka, peratusan berapa ramai calon muda yang akan diketengahkan nanti saya tidak pasti, tetapi saya yakin jumlahnya adalah lebih ramai berbanding PRU13 yang lalu," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment