Pembunuhan karakter ancam tamadun bangsa

Monday, February 19, 2018

Pembunuhan karakter ancam tamadun bangsa

Pembunuhan karakter ancam tamadun bangsa

KUALA LUMPUR: Politik pembunuhan karakter dengan menghujani serangan terhadap peribadi seseorang berupaya membunuh tamadun bangsa seperti ditunjukkan dalam sorotan pelbagai sejarah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, berkata Datuk Seri Najib Razak, yang menyedari kesan di sebalik tindakan berkenaan menolak amalan politik sedemikian dengan mempamerkan keperibadian terpuji.

Walaupun dilempar pelbagai tohmahan, Salleh berkata, Perdana Menteri tetap santun dan berhemah dalam mempertahankan diri daripada serangan musuh politiknya.

"Beliau (Najib) yakin pembunuhan karakter boleh melenyapkan kebenaran, menjahanamkan demokrasi dan secara perlahan membunuh bangsa.

"Oleh itu, kita perlu berdebat berteraskan kerangka demokrasi dengan memfokuskan kepada idea dan dasar, bukannya menjatuhkan pihak lawan, selain menelanjangkan aib peribadi mereka dalam usaha menegakkan bangsa Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Najib menerusi entri di akaun Twitter rasminya bulan lalu, menyatakan kesyukuran kerana berpeluang memasuki makam Nabi Muhammad SAW yang dikatakan lazimnya diberi kepada tetamu istimewa Kerajaan Arab Saudi.

Kenyataan itu bagaimanapun dimanipulasi segelintir pihak yang mendakwa ia sebagai cubaan meraih kepentingan politik, selain mempertikaikan cara Perdana Menteri memberi salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad.

Salleh berkata, zaman akhir empayar Rom menyaksikan puteranya sering berbunuhan kerana berebut tampuk ku asa, iaitu situasi sama era Mughal apabila Maharaja Aurangzeb memenjarakan bapanya sehingga mangkat untuk kekal menerajui kepemimpinan.

"Politik moden turut menyaksikan gejala sama seperti Presiden Amerika Syarikat, John F Kennedy; Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto; Perdana Menteri India, Indira dan Rajiv Ghandi; Presiden Filipina, Benigno Aquino dan pemimpin kemerdekaan Burma, Aung San Suu Kyi.

"Mereka adalah sebahagian daripada senarai panjang pembunuhan politik di serata dunia. Terbaru, Datuk Seri Najib terkena permainan politik kotor ini.

"Karakter peribadinya dibunuh tanpa takut terhadap dosa dan pahala, semata-mata mahu mengaibkan peribadi Perdana Menteri supaya beliau tewas kepada tekanan serta undur diri daripada pentas politik," katanya.

Selari peredaran masa, Salleh berkata, tindakan keji yang kini didalangi 'blogger' bukan membunuh orang, sebaliknya menyajikan pelbagai serangan terhadap peribadi musuh politiknya menerusi dalam talian.

Katanya, pembunuhan karakter sehingga mengundang rangkaian kesan terhadap mangsa, termasuk pemimpin negara ketika ini sudah menjadi permainan politik yang cukup menjelikkan.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment