Lari ikut dapur

Monday, February 26, 2018

Lari ikut dapur

Lari ikut dapur

SINGAPURA: Selepas hampir sembilan jam menanti bagi mendapatkan perkembangan sesi sebutan kes membabitkan dua pemain badminton profesional yang disyaki mengatur perlawanan, media yang hadir membuat liputan dikecewakan dengan tindakan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang mengelak daripada bertemu pemberita.

Ini kerana, tiga ahli panel bebas dilantik BWF dan pemain yang terbabit 'melarikan diri' menggunakan laluan dapur Hotel Jen Tanglin Singapura - tempat berlangsungnya sesi sebutan kes - sebaik tamat pada jam 5 petang tadi.

Wakil Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Jadadish Chandra yang memaklumkan perkara itu bagaimanapun berkata, BWF mengambil tindakan itu adalah bagi melindungi kedua-dua pemain terbabit kerana proses sebutan kes masih belum selesai dan akan bersambung, esok.

"Semua perlu faham, tindakan BWF ini bukan disengajakan tetapi mereka perlu melindungi kedua-dua pemain berkenaan. Dua pemain itu masih perlu menghadiri sebutan kes esok, dan mereka tidak dibenarkan memberikan sebarang komen.

"Lagipun, ada bantahan awal yang dibuat daripada dua pemain berkenaan yang tidak mahu bertemu media," kata Jadadish ketika ditemui selepas tamat hari pertama sebutan kes.

Kehadiran Jadadish yang juga ahli Jawatankuasa Peraturan dan Disiplin BAM adalah sebagai pemerhati bagi memantau proses sebutan kes itu.

Mengulas lanjut, Jadadish berkata, BWF melantik tiga ahli panel bebas daripada tiga negara berbeza bagi mengadili kes membabitkan kedua-dua pemain yang disyaki itu.

Katanya, kedua-dua pemain terbabit masing-masing diwakili oleh dua peguam.

"Proses sebutan kes hari ini menyaksikan BWF mengemukakan bukti yang mereka ada untuk mendakwa kedua-dua pemain itu atas tuduhan mengatur perlawanan. Empat saksi dipanggil hari ini bagi memberi keterangan.

"Pemain yang terbabit dan peguam mereka akan dibenarkan membuat pembelaan esok," kata Jadadish.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment