Kita harus sempadankan sifat benci
BILA kita berhubungan sesama kita, tidak boleh tidak terdapat empat perasaan yang sentiasa bercampur-baur mengikut ketika dan keadaan. Perasaan tersebut adalah sayang, suka, tidak suka dan akhir sekali benci.
Kesemua jenis perasaan tersebut akan mempengaruhi sifat dan sikap kita. Jika kita sayang tentunya sifat dan sikap kita akan berbeza dengan sifat dan sikap kita terhadap perasaan suka, tidak suka dan tentunya cukup ketara perubahan sifat dan sikap kita bila kita benci dan membenci.
Ramai yang cukup sedar bahawa sifat membenci bukan sahaja memudaratkan orang lain, malah memberi kesan yang besar juga kepada kita. Namun, ramai dalam kalangan kita, masih memilih untuk membenci daripada memupuk kasih sayang. Mungkin, mereka lebih berasa puas jika membenci.
Jika empat perasaan tersebut diagihkan kepada dua kelompok, maka sifat sayang dan suka adalah berada dalam kelompok yang positif. Manakala sifat tidak suka dan benci pula berada dalam kelompok yang negatif. Jika kita boleh secara konsisten menerapkan sifat-sifat berkenaan dalam diri, sudah tentu kita boleh dianggap sebagai individu yang hampir sempurna.
Namun secara realitinya kita bukanlah sempurna. Ada kalanya sifat tidak suka dan membenci ini sentiasa datang dalam minda dan hati kita menyebabkan diri menjadi tidak terkawal dan tidak tenang. Keadaan menjadi bertambah perit apabila memori silam yang begitu pahit sentiasa menggamit diri kita untuk lebih membenci.
Sebetulnya, sifat tidak suka dan benci ini harus diletakkan garis pemisah atau dengan kata lain kita harus jadikannya sebagai sempadan. Secara analoginya, jika kita sekarang berada di ânegaraâ tidak suka, janganlah pula memandai-mandai untuk menyeberang ke ânegaraâ benci pula, kerana tentunya kehidupan di negara berkenaan lebih teruk berbanding dengan keadaan di ânegaraâ tidak suka yang kita berada sekarang.
Seperti biasa, kerana dendam, pengaruh kawan, sentimen, fitnah, kurang iman dan masih mengaktifkan memori silam yang pahit dalam minda, keputusan untuk menyeberang melepasi sempadan ke ânegaraâ benci tetap dilakukan.
âJiwa merana tidak penting, yang penting puaskan diriâ, itulah prinsip keramat yang sentiasa disanjung tinggi oleh penggemar ânegaraâ benci.
Bagi mereka yang masih ada sifat benci, kurangkanlah ketegangan tersebut kepada sifat tidak suka sahaja. Percayalah, jika kita berjaya mengalih sifat benci, sudah tentu banyak perkara boleh membantu diri kita. Kalau sebelum ini, kita tidak akan masuk ke kedai makan jika individu yang kita benci berada di dalam kedai makan yang sama, namun jika dihindarkan perasaan benci kepada tidak suka, sudah tentu kita boleh masuk ke kedai makan berkenaan walaupun masih tidak boleh bertegur sapa.
Maka secara langsung telah mengajar diri kita mengelakkan yang lebih mudarat daripada mudarat. Begitulah juga tempat kenduri-kendara, majlis rasmi dan pelbagai lagi yang boleh kita hadir tanpa âmempedulikanâ kehadiran mereka.
Sebetulnya sifat membenci ini tiada penyudahnya, malah lebih memudaratkan. Seandainya individu yang kita benci itu meninggal dunia, sifat membenci tersebut akan masih terpalit kepada anak-anak dan seluruh ahli keluarganya.
Malah, jika kita tanam pula sifat membenci itu kepada seluruh ahli keluarga, sudah tentu sifat membenci tersebut akan terus membara dan marak di mana lama-kelamaan boleh memakan diri sendiri tanpa kita sedar.
Pada hari ini, terdapat begitu banyak medium untuk menyalurkan sifat benci kita pada seseorang atau organisasi yang diterajui oleh individu berkenaan. Mencerca, memalukan, membuka aib, memperlekeh dan apa jua tindakan dilakukan bagi memastikan karakter individu yang kita benci itu âdibunuhâ. Kalau tidak mahu sokong pun janganlah sampai membenci, cukuplah dengan tidak suka sahaja.
Ingatlah! apabila semua proses timbang amal telah dilakukan di akhirat nanti, ALLAH SWT telah berfirman âDan Syaitan berkata ketika perkara (hisab) telah diselesaikan, âSesungguhnya ALLAH telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan aku pun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Tidak ada kekuasaan bagiku terhadap mu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencela aku, tetapi celalah dirimu sendiri. Aku tidak dapat menolongmu, dan kamu pun tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan ALLAH) sejak dahuluâ. Sesungguhnya, orang yang zalim akan mendapat seksaan yang pedih.â - Surah Ibrahim, 14:22
Jika tidak mahu terpengaruh dengan syaitan, jangan membenci. Malangnya, orang cerdik pandai dan agamawan pun tunjuk sifat membenci.
*Prof Madya Dr Huzili Hussin, Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment