Jokowi dijangka pertahan jawatan

Monday, February 19, 2018

Jokowi dijangka pertahan jawatan

Jokowi dijangka pertahan jawatan

JAKARTA - INDONESIA. Presiden Joko Widodo atau Jokowi dijangka tidak berdepan masalah untuk mempertahankan kedudukannya sebagai pemimpin nombor satu Indonesia dalam Pemilihan Presiden 2019 (Pilpres 2019).

Pemimpin berusia 56 tahun itu dilihat mampu mengekalkan jawatan yang dimenanginya pada 2014 walau siapa pun yang menjadi pencabarnya.

Antara yang disebut-sebut bakal mencabar Presiden Jokowi dalam Pilpres 2019 termasuk seteru lamanya Prabowo Subianto, Agus Harimurti Yudhoyono, Anies Baswedan dan Gatot Nurmantyo, menurut laporan Okezone News itu.

Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Poltracking Indonesia, Hanta Yuda ketika membentangkan hasil kajiannya, berkata bahawa peluang untuk mereka memenangi hati pengundi agak tipis berbanding Jokowi.

Berdasarkan kajian berkenaan, sekiranya berdepan Prabowo yang juga pencabarnya dalam Pilpres 2014, Jokowi mampu memperoleh 57.6 peratus undi berbanding hanya 33.7 peratus untuk Prabowo.

"Andaikata lawan Jokowi nanti adalah Agus Yudhoyono - yang juga anak sulung mantan presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono - Jokowi dijangka mendapat undi lebih besar iaitu 64.7 peratus.

"Hanya 14.6 peratus dijangka memilih Agus, sementara 20.6 peratus pula belum membuat sebarang keputusan," kata Hanta.

Kata Hanta lagi, sekiranya terpaksa berdepan Naib Presiden ketika ini Jusuf Kalla, Jokowi diramal bukan hanya menang, malah jumlah undinya lebih besar iaitu 66.4 peratus, berbanding 6.9 peratus undi untuk Jusuf.

Kajian tersebut melibatkan 1,200 responden dan dijalankan dari 27 Januari hingga 3 Februari lalu. - Okezone
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment