Isteri terkapai-kapai dihanyutkan arus depan suami

Monday, February 19, 2018

Isteri terkapai-kapai dihanyutkan arus depan suami

Isteri terkapai-kapai dihanyutkan arus depan suami

SUNGAI BULOH: "Melihat tangan isteri terkapai-kapai sambil menjerit meminta tolong, saya terjun semula ke sungai namun tidak berjaya mendekatinya kerana arus terlalu deras," kata Mohd Rizal Mat Desa, mengimbas kejadian isterinya dihanyutkan arus Sungai Gasi berhampiran Kem Paya Jaras di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, lima individu termasuk isteri dan ibu saudara Mohd Rizal, dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus sungai ketika memancing.

Mohd Rizal, 31, berkata isterinya Shilawati Zailan, 31, bersungguh-sungguh mahu memancing semalam, walaupun beliau sendiri tidak sedap hati.

"Saya dari Klang, manakala isteri datang lebih awal bersama makcik (Jaleha Hashim, 53) dan pakcik (Syamsul Azhar, 32) untuk memancing di bawah jambatan.

"Kami duduk di tebing di bawah jambatan bersama beberapa pemancing lain yang tidak dikenali. Tiba-tiba arus deras dengan kepala air meluru ke arah kami tanpa sempat berbuat apa-apa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Mohd Rizal berkata, mereka beramai-ramai sempat berpaut pada pokok, namun seorang demi seorang pemancing dihanyutkan arus, malah dia sempat memegang tangan isterinya.

"Bagaimanapun, saya terlepas tangan isteri, namun terjun semula ke sungai untuk menariknya, tetapi tidak berjaya. Selepas itu, saya beberapa kali terjun ke dalam sungai untuk mencari isteri.

"Saya berjalan ke hilir sungai sehingga badan lemah," katanya sambil menahan sebak.

Sementara itu, saksi kejadian Ahmad Nizam Abdul Kadir, 45, berkata penduduk kawasan berkenaan tidak memancing di situ dan mangsa terbabit mungkin berasal dari luar.

"Seorang penduduk melihat mangsa dihanyutkan tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana kedalaman air hampir tiga meter," katanya ketika ditemui di lokasi.

Beliau berkata, hujan lebat malam kelmarin menyebabkan paras air sungai berkenaan meningkat.

Sehingga jam 9 malam ini, tiada mangsa ditemui dan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama polis membuka pusat operasi kira-kira tujuh kilometer dari lokasi yang juga perangkap sampah dekat Kampung Paya Jaras.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment