Jangan layan desakan pembangkang

Friday, February 2, 2018

Jangan layan desakan pembangkang

Jangan layan desakan pembangkang

KUALA LUMPUR: Gesaan BERSIH 2.0 supaya pemantau antarabangsa dijemput menyaksikan proses Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) disifatkan sebagai bentuk ancaman kepada kedaulatan dan sistem demokrasi negara.

Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi, berkata gesaan yang turut diulangi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin itu secara tidak langsung menghina dan cubaan membunuh semangat pegawai dan kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Gesaan dibuat pembangkang harus dilihat sebagai suatu bentuk ancaman kepada kedaulatan dan sistem demokrasi negara terutama selepas pertemuan pembangkang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad bersama delegasi Kesatuan Eropah (EU) antara lain turut membincangkan mengenai PRU-14.

"Tidak pernah sejak 1957, negara ini didesak untuk tunduk kepada kuasa luar, termasuklah kepada EU untuk menentukan sendiri proses pilihan raya yang bersih dan adil," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Budiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang berkata, jasa dan profesionalisme SPR tidak wajar dinafi dan diperlekehkan hanya kerana mahu memenuhi nafsu dan agenda tersembunyi pakatan pembangkang.

Katanya, SPR sudah mempunyai pengalaman menjalankan pilihan raya umum sebanyak 13 kali dan kewibawaan suruhanjaya itu tidak wajar dipertikaikan sama sekali.

"Sesungguhnya perjalanan pilihan raya di Malaysia dilaksanakan secara telus memandangkan semua calon bertanding dibenarkan melantik ejen mewakili mereka di setiap pusat dan saluran pengundian sepanjang tempoh mengundi dan kiraan undi.

"Jika tidak, adakah mungkin pihak pembangkang berjaya menguasai beberapa negeri seperti Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor. Adakah desakan dibuat mereka ini secara tidak langsung menyatakan kemenangan mereka di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor juga tidak sah," soalnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebagai negara yang merdeka dan berdaulat, Malaysia tidak perlu mengundang campur tangan luar yang berselindung di sebalik topeng pemerhati dalam pilihan raya umum seperti didesak pembangkang.

"Rakyat Malaysia tidak mungkin lupa fitnah dan penipuan pembangkang dengan dakwaan 40 ribu pengundi Bangladesh dibawa masuk pada pilihan raya umum lalu. Sesungguhnya permainan persepsi dan fitnah adalah suatu lumrah dan makanan harian pihak pembangkang.

"Pihak pembangkang semakin menampakkan sikap seperti si Kitul yang sanggup menggadai negeri membuka pintu kota di zaman kerajaan Melayu Melaka. Rakyat Malaysia seharusnya menolak petualang negara yang memandang rendah soal kedaulatan dan maruah negara tercinta ini," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment