Gigih bina bangunan spa sendiri

Monday, February 26, 2018

Gigih bina bangunan spa sendiri

Gigih bina bangunan spa sendiri

KEMAMAN - Demi merealisasikan impiannya, seorang ibu kepada lima anak dari Kampung Bukit Kukuran gigih membina bangunan spa miliknya sendiri dengan pertolongan suami.

Kegigihan dan kekentalan  hati Marini Ibrahim, 36, itu ternyata membuahkan  hasil kerana ketika ini spa yang dibina secara beransur-ansur sejak setahun lalu itu sekarang sudah separuh siap.

Meskipun kerja-kerja pembinaan dianggap suatu kerja berat bagi kaum wanita, namun Marini berjaya membuktikan golongan ibu juga boleh melakukan kerja yang dipelopori lelaki.

Marini berkata, walaupun dia terpaksa mengerah sepenuhnya tenaga selain terpaksa memanjat tempat tinggi namun ia memberin satu kepuasan apabila dapat melihat sendiri bangunan spanya itu sudah separuh siap.

"Dengan bantuan suami, saya bina spa ini. Segala kerja kami lakukan berdua seperti bancuh simen dan ikat batu bata. Memang kerja ini memenatkan namun saya gembira sebab perlahan-lahan spa makin siap.

"Dengan buat sendiri bangunan spa ini, kos dapat dijimatkan. Setakat ini kos yang dilaburkan untuk bina projek ini adalah sebanyak RM6,000," katanya.

Katanya, wang untuk pembinaan spa itu dikumpulkan dari pelbagai perkerjaan yang dilakukan olehnya dan suami.

Suaminya, Mohd Yunus Yusoff, 39, bekerja sebagai nelayan manakala Marini sendiri menyediakan perkhidmatan spa mudah alih selain turut menjual barangan runcit di hadapan rumahnya.

Perkhidmatan spa mudah alih itu ditawarkannya pada 2016 selepas menyertai kursus latihan kemahiran Empower Ecer Kemaman pada 2015 hingga 2017 dalam bidang terapi spa.

Menurut Marini, dia pergi dari rumah ke rumah dengan menunggang motosikal bagi memenuhi permintaan pelanggannya untuk mendapatkan pelbagai servis yang ditawarkannya secara berpakej.

"Saya tawarkan beberapa pakej iaitu pakej urutan, skrub badan, sauna, bertungku dan mandi serum di mana harganya bermula dari RM30 hingga RM250.

"Pendapatan yang saya peroleh ini turut simpan dalam tabung sebagai modal untuk bina spa saya sendiri. Selain itu saya turut buat kerja tambahan lain seperti buat budu dan ikan kering. Budu dan ikan kering saya bukan saja jual di kedai malah turut buat servis 'cash of delivery' (COD) dan poskan kepada pembeli yang berminat," katanya.

Katanya, kerja-kerja pembinaan lebih mudah apabila Adun Kemasik, Ir Rosli turut membantu dengan mengupah tukang melakukan kerja-kerja menampal simen manakala Pas pula menyumbangkan simen dan pasir.

Apa yang menggembirakan Marini terpilih menerima bantuan peralatan berupa alat sauna dan tab mandi yang disampaikan Majlis Pembangunan Ecer (ECERDC) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang mengendalikan latihan kemahiran Empower Ecer Kemaman.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment