GegaRia ketengahkan permainan tradisi

JOHOR BAHRU: Congkak gergasi yang juga permainan tradisional mencuri tumpuan khususnya kanak-kanak pada Festival GegaRia diadakan di Perkarangan Angsana Johor Bahru Mall, di sini.
Festival GegaRia menampilkan kelainan dengan membawa permainan anjung itu ke kawasan terbuka bagi memastikan permainan lama tidak dilupakan, sekali gus memulihara dan menghayati warisan supaya tidak hilang ditelan zaman.
Program bermula jam 8 pagi tadi menarik penyertaan kira-kira 3,000 golongan muda kebanyakannya kanak-kanak yang tidak melepaskan peluang untuk bermain buih gergasi, baling selipar, lompat getah, timbang takraw, congkak dan teng-teng.
Pengunjung, Afif Aiman, 16, berkata, permainan lasak seperti lompat getah menjadi seronok apabila diadakan di kawasan yang lapang dan luas untuk memudahkannya bergerak lincah.
"Sukan seperti ini masih popular kerana amat mudah untuk dimainkan malah berjaya mengelakkan remaja seperti saya terlalu asyik dengan gajet," katanya yang menetap di Bandar Baru Uda, di sini.
Sementara itu, Pengarah Pemasaran dan Pengasas Bersama Kitamen, Riaz Shah, yang membuka kontena permainan digital di Festival GegaRia kagum dengan sambutan hebat generasi muda yang mencuba pelbagai permainan digital dibawanya.
Katanya, beliau dibantu lima kru membawa empat permainan digital termasuk FIFA, Tekken, Rush of Blood dan Dragon Ball untuk dicuba pengunjung.
"Hampir 800 pengunjung muda sudah mencuba permainan digital yang kami bawa khas untuk pengunjung Festival GegaRia di Johor Bahru ini membuktikan sukan digital kini amat popular.
"Saya melihat potensi sukan digital (e-Sport)ini di Malaysia amat besar apatah lagi apabila kerajaan juga sudah mengiktiraf industri ini untuk dibangunkan malah banyak pertandingan dianjurkan di negara kita dengan hadiah wang tunai lumayan.
"Festival GegaRia ini juga berperanan mempopularkan lagi permainan atau sukan digital. Kita dapat memupuk bakat baharu generasi baru yang boleh diketengahkan untuk mewakili negara apatah lagi Malaysia berpotensi menjadi hab sukan digital Asia Tenggara, " katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment