Terpana melihat kalimah ALLAH, ketika jelajah kutub...
SHAH ALAM - Berkongsi kisah penjelajahan menawan Kutub Selatan pada 2004, Dr. Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, mendedahkan bahawa ada kisah menakjubkan di sepanjang misi perjalanannya.
Wanita Asia pertama yang merentasi Kutub Utara dan Selatan itu berkata, penemuan sebuah gunung yang seolah-olah terukir kalimah ALLAH merupakan antara kisah itu.
"Pengalamannya antaranya, saya menemui sebuah gunung yang terpapar kalimah ALLAH...Pada saya itu pengalaman yang sangat hebat, tak ternilai.
"Alhamdulillah saya merupakan insan terpilih untuk melihat kebesaran itu," katanya dalam program Live Bersama Sinar Harian, di Kumpulan Media Karangkraf, hari ini.
Katanya, peristiwa itu sedikit sebanyak memberi semangat kepadanya untuk terus meneroka alam tanpa batasan.
"Hilang rasa sakit, syukur dapat melihat suasana itu," katanya.
Menjelaskan lanjut, Sharifah Mazlina berkata, gunung itu sangat besar.
"Gunung itu berwarna hijau (yang tertera kalimah ALLAH) dan ia dikelilingi gunung berwarna hitam, ukiran kalimah ALLAH itu seperti diukir dan bagi saya ia pengalaman terbaik yang saya nampak," katanya lagi.
Dalam pada itu, kongsinya beliau juga ada ternampak ukiran seperti wanita bertelekung ketika ekspedisi di Kutub Utara.
"Saya jumpa ukiran salji seperti sedang sembahyang... nampak seperti wanita di kedudukan tahiyat akhir," katanya.
Pada 9 Disember 2004, Sharifah Mazlina mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya merentasi Antartika sejauh 1,110 kilometer dalam 22 hari, dua hari lebih awal daripada rekod sebelum ini yang dipegang seorang lelaki warga Britain.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment