Jepun bekal teknologi canggih, perisikan

Friday, January 5, 2018

Jepun bekal teknologi canggih, perisikan

Jepun bekal teknologi canggih, perisikan

PUTRAJAYA: Jepun menyuarakan komitmen untuk terus berkongsi peralatan teknologi canggih dan maklumat perisikan kepada Malaysia dalam usaha memerangi keganasan.

Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyogawa, menyifatkan ancaman militan dan ekstremisme melangkaui sempadan geopolitik mana-mana negara.

Sehubungan itu, katanya, komuniti antarabangsa yang mempunyai kelebihan aspek tertentu, termasuk kewangan dan peralatan berteknologi canggih perlu berganding bahu dalam mengekang penularan militan.

"Kerajaan Jepun menyumbang 45 bilion yen (RM1.58 bilion) kepada beberapa negara rakan dagang menerusi pembekalan peralatan saringan keselamatan untuk memastikan kegiatan militan tidak menyusup masuk ke rantau Asia.

"Antara peralatan dibekalkan termasuk sistem pengecaman tanda fizikal seperti tatu pada badan, selain wajah dan suara bagi memperkukuhkan data pangkalan maklumat perisikan negara berkaitan.

"Malaysia adalah rakan dagang penting Jepun, justeru kita akan terus bekerjasama dan menyalurkan bantuan," katanya ketika diundang sebagai panel sidang pleno keempat, Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya (PISD) 2018, di sini, hari ini.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Nasional Muslim Filipina, Prof Datuk Yusoph Roque Morales, berkata gerakan memerangi penularan militan di seluruh negara wajar dirombak supaya mencakupi segenap hierarki kumpulan berkenaan.

Katanya, pendekatan baharu itu perlu kerana usaha ketika ini lebih terarah kepada sekadar menyekat penularan ideologi dan memberkas individu yang ingin menyertai kumpulan militan.

"Dalam senyap, pihak yang menyumbang kepada sistem kewangan militan atau dikategorikan sebagai 'ancillaries' tidak ditangani secara menyeluruh, sekali gus menyaksikan kegiatan ini tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

"Akar kepada kegiatan militan, iaitu individu atau sel yang diberi peranan merekrut anggota baharu juga perlu diberi perhatian khusus bagi memutuskan kelangsungan pergerakan militan," katanya.

Bekas Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Antarabangsa dan Strategik (ISIS), Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan, menyuarakan kebimbangan isu Palestin dan beberapa insiden penindasan umat Islam berupaya menjadi punca kebangkitan pergerakan militan.

Susulan itu, katanya, pelbagai pihak khususnya negara Islam wajar berganding bahu dalam mengenal pasti sel baharu yang mungkin wujud, kononnya memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin.

"Isu Palestin dan insiden penindasan umat Islam harus ditangani secara tuntas supaya ia tidak dimanipulasi golongan militan untuk menyuntik sentimen ekstremisme, khususnya dalam kalangan golongan muda," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment