Terpaksa solat di kaki lima

Monday, January 1, 2018

Terpaksa solat di kaki lima

Terpaksa solat di kaki lima

KUALA KETIL - Peniaga dan pekerja kios berhampiran kawasan industri, di sini kesal apabila surau yang dipohon sejak tahun lalu masih belum dibina.

Norlia Hamzah, 47, berkata, surau bukan sahaja belum dibina, malah jawapan diterima daripada wakil Majlis Daerah Baling (MDB) amat mengecewakan.

“Ada wakil yang suruh kami solat saja di kawasan sekitar kedai ni dengan berlapikkan tikar atau sejadah. Kata individu tu, peniaga pasar malam boleh buat, kenapa kami kat sini tak boleh.

“Kami mohon surau ni mestilah sebab nak solat. Bukan sahaja untuk peniaga dan pekerja, tetapi untuk pelanggan yang datang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kios semalam.

Menurutnya, ketiadaan surau itu membuatkan dia terpaksa pulang ke rumah sejauh dua kilometer untuk bersolat.

“Kalau hari yang jualan laku saya ada ambil pekerja sambilan. Waktu tu nak balik tak apa lah sebab ada orang jaga.

“Tapi waktu tak ada pekerja, saya tawakal sajalah balik dengan keadaan kedai tak ditutup. Bila tutup nanti ada pelanggan ingat saya tak berniaga pula,” katanya.

Peniaga makanan, S. Salmah Zakaria, 51, berkata, dia terpaksa menunaikan solat Subuh di ruang belakang kios kerana tiada pilihan.

“Saya akan datang kedai sebelum Subuh sebab nak uruskan banyak benda. Bila masuk waktu solat, saya terpaksa solat berlapikkan sejadah di ruang belakang kedai.

“Lagi pun bila solat di luar ni kami terdedah dengan ancaman anjing yang suka berkeliaran. Takut la juga tiba-tiba diserang haiwan tu,” katanya.

Tambahnya, MDB diharap dapat mempertimbangkan cadangan untuk dibina sebuah surau di kawasan berkenaan.

Pekerja kios, Rohayati Tambang, 42, berkata, tiada ruang untuk menunaikan solat melainkan dalam ruang kios dipenuhi barangan atau di luar.

“Kalau tak ada orang datang lagi saya dan anak akan solat dalam kios, kalau ada pelanggan kami solat Subuh di luar kios bahagian belakang.

“Nak solat memang rasa tak selesa dan selamat sebab depan dan belakang kios ni orang lalu lalang,” katanya.

Sinar Harian difahamkan terdapat 10 unit kios di situ dengan ada yang beroperasi hingga malam.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Baling, Datuk Md Shuhaime Abdul Rahman berkata, beliau akan mengadakan semakan berkaitan isu berkenaan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment