'Juruterbang syabu' boleh dibuang kerja

Monday, January 1, 2018

'Juruterbang syabu' boleh dibuang kerja

'Juruterbang syabu' boleh dibuang kerja

KUALA LUMPUR: Seorang juruterbang Malindo Air yang ditahan di Batam, Indonesia kerana positif dadah jenis syabu kelmarin, berdepan tindakan dibuang kerja jika siasatan lanjut mendapatinya bersalah.

Malindo Air menjelaskan, siasatan dalaman turut dijalankan pada 30 Disember lalu selepas syarikat penerbangan terbabit dimaklumkan mengenai penahanan juruterbang berusia 34 tahun yang berasal dari Kelantan itu.

"Syarikat tidak berkompromi dalam hal sedemikian (penyalahgunaan dadah), justeru tindakan tegas akan diambil terhadap pekerja yang didapati terbabit dengan sebarang salah laku.

"Mana-mana pekerja (Malindo Air) yang didapati bersalah akan dibuang kerja dan diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kelmarin, seorang juruterbang Malindo Air berasal dari Malaysia ditahan di Batam, Indonesia kerana didapati positif dadah jenis syabu.

Pemeriksaan ujian saringan air kencing oleh Badan Narkotika Nasional Provinsi (BNNP) Kepulauan Riau di Lapangan Terbang Antarabangsa Hang Nadim, Batam mendapati seorang juruterbang lelaki Malindo Air positif dadah jenis syabu, Khamis lalu.

Memetik laporan Detik.com, pemeriksaan lanjut turut menemui satu paket syabu seberat 1.09 gram dalam bagasi milik suspek, selain alat penghisap dadah atau 'bong'.

Difahamkan, juruterbang terbabit diserahkan kepada Badan Narkotika Nasional (BNN) Kota Batam untuk tindakan selanjutnya.

Malindo Air memberi jaminan saringan ujian air kencing bagi mengesan penyalahgunaan dadah dilaksanakan secara berkala terhadap semua kakitangannya.

"Ia termasuk kru penerbangan dan juruterbang bagi memastikan mereka berada dalam keadaan sihat untuk menjalankan tugas pada setiap masa.

"Dasar ini selaras usaha memastikan keselamatan penerbangan dan penumpang menjadi keutamaan syarikat," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment