Polis siasat dakwaan pelajar diculik van putih
AMPANG: Polis Daerah Ampang Jaya menyiasat dakwaan seorang pelajar lelaki Tingkatan Satu sebuah sekolah menengah di sini, yang mendakwa hampir diculik tiga lelaki menaiki van putih, pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias, berkata pihaknya ada menerima laporan daripada mangsa pada malam hari kejadian.
Katanya, setakat ini belum dapat dipastikan kesahihan cerita dilaporkan itu dan siasatan mengenainya sedang dijalankan.
Bagaimanapun, beliau berkata, kertas siasatan tetap dibuka mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik atau melarikan remaja bawah umur tanpa keizinan penjaga yang sah.
"Kita masih siasat dan setakat ini tiada saksi mahu pun rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh membantu siasatan.
"Berkaitan kecederaan dialami mangsa, ia bukan disebabkan cedera ketika kejadian berlaku, tetapi tergesel pada pintu sekolah.
"Mungkin (kejadian) diviralkan untuk menambah cerita yang dihebohkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, menerusi laporan polis yang tersebar di media sosial, pelajar itu mendakwa kejadian berlaku pada kira-kira jam 12 tengah hari ketika dia sedang menunggu bas sekolah di perhentian bas dekat Taman Pandan Indah.
Dakwanya, sebuah van kemudian tiba-tiba berhenti sebelum dua lelaki dikatakan menariknya masuk ke dalam kenderaan itu.
Selain dua lelaki terbabit, pelajar itu mendakwa ada seorang lagi lelaki di dalam van itu yang bertindak sebagai pemandu.
Ketika berada dalam van itu kira-kira 10 minit, pelajar itu mendakwa terlihat papan tanda Pandan Jaya dan hentian bas Pandan Jaya sebelum dikatakan menggigit tangan lelaki yang berada di sebelahnya, dipercayai untuk melepaskan diri.
Dakwanya, seorang lelaki yang duduk di tempat penumpang hadapan kemudian turun membuka pintu van dan kesempatan itu diambil dengan menendang lelaki terbabit sebelum mangsa melarikan diri ke hentian bas.
Mangsa kemudian mendakwa menaiki bas henti-henti ke sekolahnya.
Dia turut mendakwa mendapat kecederaan di tangan akibat terlanggar pintu sekolah.
Kejadian itu dimaklumkan kepada seorang guru kira-kira jam 5.30 petang ketika menerima rawatan di Hospital Ampang.
Dakwanya, guru terbabit kemudian menghubungi kedua ibu bapanya yang datang mengambilnya di sekolah tidak lama selepas itu sebelum membuat laporan polis di Balai Pandan Indah.
Dua keping gambar pelajar terbabit dengan kesan kecederaan di tangan turut tersebar di media sosial.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment