'Jejak pembunuh itu sampai dapat'
KLANG: Keluarga kepada lelaki tempatan yang dipercayai dibunuh empat warga asing, berharap pelakunya segera ditangkap dan dikenakan hukuman setimpal.
Mohd Nor Syazrin Rasdi, 29, maut selepas dikelar dalam kejadian di tapak pasar malam di Seksyen 25, di sini, malam tadi.
Abang sulung mangsa, Helmi Rasdi, 38, ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bergegas ke Shah Alam sejurus dimaklumkan mengenai tragedi menimpa adiknya.
"Adik perempuan saya yang rapat dengan Allahyarham menelefon sambil menangis dan memberitahu adik dibunuh.
"Kami masih terkejut dan bagai tidak percaya dengan berita diterima. Adik pergi begitu tragis. Kami memang tak boleh terima dia dibunuh seperti itu.
"Saya harap pembunuh adik kami dijejak sampai dapat. Selagi mereka ada di luar, selagi itu kami tidak puas hati," katanya.
Beliau yang tiba di Shah Alam awal pagi tadi berkata, adiknya amat minat berniaga dan sudah lima tahun berniaga serta menetap di Selangor.
"Sepanjang berniaga, adik tiada apa-apa masalah dan tidak pernah mengadu masalah yang pelik.
"Dia peramah dengan semua orang, mudah mesra dan pandai berniaga.
"Walaupun jarang berjumpa, dia selalu berhubung melalui telefon dengan kami dan tidak berkira nak bagi duit pada adik-beradik yang memerlukan," katanya.
Ditanya pemberita mengenai hubungan mangsa dan wanita seorang warga Indonesia, beliau berkata, keluarga mereka mengetahui anak keempat daripada tujuh beradik itu bercinta dengan wanita terbabit.
"Mereka berkawan sejak adik mula berniaga di sini dan ada membawanya pulang ke kampung pada hari raya dan kenduri serta ketika kematian ayah.
"Kali terakhir kami jumpa arwah adik ialah pertengahan November lalu ketika dia pulang ke kampung dan mengirim wang untuk membuat kenduri tahlil arwah ayah pada hujung bulan sama," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Melayu Nasional, Datuk Khairul Khuzaini Zamzani yang mewakili Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, menzahirkan takziah kepada keluarga mangsa dan membantu menguruskannya.
"Selaku wakil rakyat, Datuk Seri Azeez memberi sedikit sumbangan kewangan, menyediakan van untuk membawa jenazah mangsa pulang ke kampung halaman.
"Kami dimaklumkan jenazah dimandikan dan disembahyangkan di sini sebelum dibawa pulang ke kampung untuk dikebumikan," katanya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata pihaknya mendapat perintah reman terhadap dua individu yang ditahan bermula hari ini sehingga 11 Januari ini.
"Wanita itu mendakwa sebagai isteri mangsa namun setakat ini tiada dokumen pengesahan menyatakan perhubungan mereka.
""Kita minta orang ramai tidak membuat spekulasi sehingga siasatan selesai," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment