Murid terima bantuan persekolahan
KALABAKAN: Murid luar bandar dalam Parlimen Kalabakan hari ini menerima bantuan persekolahan dalam Program Ziarah Kasih 'Happy 2 School' anjuran anjuran Biro Keahlian Daftar Pemilih (KDP) UMNO.
Program dengan kerjasama UMNO Bahagian Kalabakan itu diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kalabakan dekat sini, menyumbang bantuan kelengkapan sekolah termasuk pakaian seragam, kasut dan beg kepada kira-kira 1,000 murid dan pelajar empat sekolah dalam Parlimen ini.
Sekolah terbabit SK Kalabakan, SK Ulu Kalabakan, SK Brantian dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kalabakan.
Pengerusi Biro KDP, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata Parlimen Kalabakan dan Tawau lokasi terakhir bagi program berkenaan yang menjelajah ke seluruh negara membabitkan 78 kawasan Parlimen.
Katanya, program itu bukti keprihatinan kerajaan dalam membantu mengurangkan beban rakyat, terutama ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah.
"Hari ini kita datang menyalurkan bantuan dan selesaikan amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membantu rakyat dan berkongsi nikmat.
"Nilai bantuan disalurkan hari ini hampir RM180,000 (di Kalabakan dan Tawau) dan kita mahu membantu rakyat tanpa mengira bangsa dan fahaman politik sekali gus membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) menepati janji," katanya ketika merasmikan program berkenaan.
Selain sumbangan keperluan sekolah, murid dan pelajar menerima bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100 yang disampaikan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh.
Yang turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Hamisa Samat.
Selain Kalabakan, program sama diadakan di Tawau petang ini dengan kira-kira 1,000 murid dan pelajar menerima bantuan.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment