Lelaki dihanyutkan dalam kenderaan ditemukan maut

Monday, January 1, 2018

Lelaki dihanyutkan dalam kenderaan ditemukan maut

Lelaki dihanyutkan dalam kenderaan ditemukan maut

KOTA KINABALU - Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas kenderaan dinaikinya dihanyutkan arus deras di sebuah sungai di Kampung Sungai Bintosan Darat, Kota Marudu, semalam, ditemukan sudah tidak bernyawa di tebing sungai itu hari ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan di sini, hari ini berkata Muhammad Asyraf Nirajim, 20, ditemukan penduduk kampung pada kira-kira jam 9 pagi tadi di tebing sungai, kira-kira 1.4 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

"Pasukan Penyelamat Di Air JBPM Sabah mengambil mangsa (di lokasi ditemukan) dengan dibantu oleh pasukan polis seterusnya dibawa ke Hospital Kota Marudu dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya.

Menurut kenyataan itu, operasi mencari dan menyelamat mangsa yang bermula semalam ditamatkan pada jam 10 pagi tadi.

Semalam, Pasukan Gerakan Operasi JBPM menerima panggilan kecemasan pada jam 2.56 pagi dan Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu dikerahkan ke tempat kejadian, kira-kira 16 kilometer dari balai berkenaan.

Kesemua enam individu lain yang turut menaiki kenderaan jenis Toyota Innova itu berjaya menyelamatkan diri dengan memecahkan cermin pintu kereta, dan kenderaan tersebut dijumpai kira-kira 30 meter dari lokasi ia dihanyutkan pada jam 4.35 pagi. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment