Suspek bekas pesakit mental

Monday, January 1, 2018

Suspek bekas pesakit mental

Suspek bekas pesakit mental

TUMPAT: Suspek yang ditangkap atas kesalahan ingin meletupkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, malam kelmarin mempunyai rekod sakit mental.

Suspek yang berusia 30 tahun dari Pandamaran, Klang, itu pernah mendapatkan rawatan sebagai pesakit mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, beberapa tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Din Ahmad, berkata daripada soal siasat, suspek sudah tidak lagi menerima rawatan, namun masih bergantung kepada ubat.

"Keterangan yang dibuat suspek juga tidak seimbang dan andaian untuknya meletupkan Kompleks ICQS juga tipis, berdasarkan barang yang dibawanya.

"Turut dirampas beberapa keping wang kertas dalam mata wang Thailand dan suspek turut memiliki rekod lampau berkaitan dadah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Din berkata demikian selepas menziarah bapa tunggal yang menjaga tiga anak yang menghidap palsi serebrum di Kampung Kok Keli 1, di sini.

Beliau berkata, suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam dan disiasat kerana ancamannya membabitkan keselamatan yang serius.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah dan 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment