KPKT perkenal peraturan rancang semula perumahan awam lama

Wednesday, January 17, 2018

KPKT perkenal peraturan rancang semula perumahan awam lama

KPKT perkenal peraturan rancang semula perumahan awam lama

PUTRAJAYA: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperkenalkan peraturan baharu bagi membolehkan kerajaan merancang semula perumahan awam yang berusia lebih 25 tahun.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata di bawah peraturan itu, perancangan pembangunan yang dilaksanakan bukan sahaja akan menjamin hak pemilik asal rumah, malah menyediakan mereka kediaman lebih baik termasuk dari segi bilik dan kemudahan lain.

Beliau berkata, peraturan berkenaan dirancang untuk dimasukkan di bawah Akta Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam Negara yang kini sedang digubal atau pun digubal sebagai akta baharu.

"Contoh rancangan pembangunan semula ini adalah Residensi Kerinchi, yang suatu masa dahulu adalah rumah murah dan kemudahannya mungkin sesuai 30 tahun lalu.

"Ada beberapa kawasan yang sudah dikenal pasti tapi apa pun, kita akan buat akta dulu atau peraturan di bawah akta yang sedang kita gubal," katanya pada sidang media selepas menutup Konvensyen Perbandaran Negara 2018 di sini, hari ini.

Beliau berkata sebanyak lapan teras, 29 strategi dan 79 resolusi yang dihasilkan daripada konvensyen berkenaan akan dibawa ke Forum Bandar Dunia 2018 di ibu negara pada bulan depan.

Residensi Kerinchi yang siap pada Oktober 2016 bagi menggantikan Rumah Pangsa Kampung Kerinchi adalah kediaman moden bersepadu yang dibina khusus untuk penduduk awal yang mendiami kawasan Bukit Kerinchi.

Noh berkata, projek berkenaan berbeza dengan projek Datum Jelatek oleh kerajaan Selangor yang menawarkan pampasan kepada penduduk asal, namun penduduk tidak mampu membeli unit rumah berkenaan yang berharga lebih RM500,000 sehingga memaksa mereka tinggal di kawasan yang jauh dari bandar.

Mengenai kejadian seorang kanak-kanak yang maut selepas ditimpa sebuah kerusi pejabat yang dibuang dari tingkat atas Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Pantai Dalam kelmarin, Noh berkata pendekatan baharu perlu dilaksanakan bagi mewujudkan kejiranan baik dan sikap tidak mementingkan diri.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment