Aduan Ifa Raziah, Seniman tunggu siasatan polis selesai

Wednesday, January 17, 2018

Aduan Ifa Raziah, Seniman tunggu siasatan polis selesai

Aduan Ifa Raziah, Seniman tunggu siasatan polis selesai

PRESIDEN Seniman, Zed Zaidi mengakui ada menerima aduan daripada penyanyi Ifa Raziah berkenaan tindakan Roslan Shah yang membuat laporan polis berkaitan isu pergaduhan yang berlaku antara mereka.

Menurut Zed, dia dan Ifa bakal mengadakan pertemuan pada Jumaat ini untuk membincangkan tentang permasalahan terbabit.

“Ifa ada menghubungi saya dan memaklumkan tentang perkara ini termasuk laporan polis yang telah dibuat Roslan terhadapnya.

“Apa yang boleh saya katakan, apabila perkara ini sudah menjadi kes polis, kita perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan terlebih dahulu.

“Kita tidak boleh mengganggu siasatan polis, sebaliknya perlu menunggu keputusan tang diperolehi dan selepas itu barulah pihak kami akan memutuskan apakah tindakan yang perlu dilakukan,” jelas Zed kepada Sinar Harian.

Menurut Zed, buat masa ini pihak Seniman akan membantu dari segi memberikan sokongan dan pandangan kepada pihak terbabit.

“Saya menerima aduan daripada Ifa, tetapi di pihak Roslan pula saya tidak tahu macam mana.

“Sama ada isu ancaman bunuh yang didakwa itu hanyalah satu gurauan atau sudah menjadi kes jenayah, ia adalah bidang kuasa pihak polis untuk menentukan.

“Kalau hasil siasatan polis mengatakan tiada isu, kita tidak boleh buat apa-apa. Namun sekiranya keputusan adalah sebaliknya, barulah pihak persatuan akan menentukan apa jenis tindakan yang akan diambil terhadap pihak terbabit,” tegasnya.

Mengulas kenyataan Ifa yang mahu pihak Seniman menyekat selebriti kelahiran Singapura itu untuk terus bergiat aktif dalam industri seni tanah air, kata Zed, persatuan ada prosedur tertentu sebelum melakukan sesuatu tindakan.

“Persatuan mempunyai prosedur tertentu sebelum melakukan apa-apa tindakan, dan kami tidak boleh sewenang-wenangnya membuat keputusan tanpa mengambil kira pelbagai aspek.

“Malah Seniman juga tidak boleh melangkaui bidang kuasa pihak lain. Namun pihak persatuan akan cuba melakukan yang terbaik untuk membantu pihak terbabit menyelesaikan kemelut yang berlaku,” katanya.

Dalam masa yang sama, Zed juga menggesa pihak SKKM supaya mengadakan satu garis panduan yang lebih jelas untuk mengelakkan pengguna Media Sosial menyalahgunakan medium tersebut sehingga boleh mencetuskan kekecohan.

“Kita baru saja masuk tahun baru 2018, tetapi industri sudah disajikan dengan pelbagai cerita kontroversi.

“Saya harap agar artis-artis kita dapat muhasabah diri dan cuba menyelesaikan setiap masalah yang datang dengan cara terbaik.

“Kita seharusnya lebih memfokuskan kepada kerjaya masing-masing sekali gus mengurangkan kontroveris-kontroversi yang boleh mengundang tanggapan negatif masyarakat kepada orang seni,” akhiri Zed.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment