Kerajaan sedia pendidikan percuma, mansuh semua yuran sekolah

Tuesday, January 2, 2018

Kerajaan sedia pendidikan percuma, mansuh semua yuran sekolah

Kerajaan sedia pendidikan percuma, mansuh semua yuran sekolah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan membelanjakan purata RM8,900 setahun, bagi setiap pelajar di negara ini, sebagai usaha menyediakan pendidikan percuma di peringkat rendah dan menengah.

Perdana Menteri berkata, perbelanjaan itu sebagai menampung semua yuran yang sudah dimansuhkan, yang tinggal kini cuma sumbangan mengikut keperluan kepada sekolah.

Beliau berkata, berbanding masa lalu, ibu bapa dibebankan dengan yuran wajib bayar, daripada yuran khas hinggalah bayaran tambahan persekolahan.

"Kesemua yuran ini telah dimansuhkan. Yang tinggal kini cuma sumbangan mengikut keperluan kepada sekolah.

"Kalau dahulu juga, pinjaman buku teks hanya diberikan mengikut taraf pendapatan ibu bapa, kini ia diberikan kepada semua pelajar," katanya menerusi entri terbaharu blog NajibRazak.com bertajuk, Kembali ke sekolah, malam ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan turut menyediakan Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia sebanyak RM100 seorang yang memberi manfaat kepada 3.2 juta murid daripada keluarga berpendapatan rendah.

"Ia adalah sebahagian daripada Bajet 2018 yang memperuntukkan sebanyak RM45.9 bilion kepada Kementerian Pendidikan untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

"Ini termasuk bagi menyediakan bantuan persekolahan kepada lebih 5.2 juta murid di seluruh negara," katanya.

Najib berkata, dalam Bajet 2018, sebanyak RM550 juta disediakan bagi menambah baik dan menyelenggara Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, Sekolah Mubaligh, Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains MARA, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan agar pembelajaran dilaksanakan dalam suasana kondusif dan ceria.

"Dalam Bajet 2018, saya turut mengumumkan peruntukan terbesar bernilai RM2.5 bilion bagi membaiki dan membina semula sekolah daif di seluruh negara menggunakan kaedah Industrial Building System atau IBS.

"Secara purata perbelanjaan pendidikan di negara ini adalah dua kali ganda, berbanding perbelanjaan negara ASEAN, membuktikan kerajaan sentiasa menitikberatkan bidang pendidikan," katanya.

Dalam pada itu, Najib turut mengucapkan syabas kepada guru-guru yang cukup berdedikasi dalam mendidik anak bangsa.

"Contohnya hari ini, saya lihat begitu ramai yang melakukan lebih daripada tugasan mereka, bagi menjadikan pengalaman hari pertama di sekolah sebagai pengalaman yang tak dapat anak-anak kita lupakan.

"Ada yang mengenakan pakaian adiwira, ada yang mengecat dan menghias semula kelas, dan bermacam-macam lagi," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment