Kerja binaan diarah berhenti ekoran kren tumbang

Tuesday, January 2, 2018

Kerja binaan diarah berhenti ekoran kren tumbang

Kerja binaan diarah berhenti ekoran kren tumbang

SHAH ALAM - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor telah mengarahkan kerja-kerja di sebuah tapak binaan di Seksyen 7 di sini dihentikan serta merta bagi membolehkan siasatan berhubung kemalangan yang mengorbankan seorang pekerja asing warga Indonesia awal hari ini.

Siasatan itu bagi mengenalpasti punca kejadian kren tumbang di tapak berkenaan hingga menyebabkan pekerja itu maut dan tiga yang lain cedera. Mangsa dikenali sebagai Matrias, 38.

Matrias disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Shah Alam manakala seorang lagi rakan senegaranya dan dua pekerja warga Bangladesh yang patah kaki kini menerima rawatan di hospital sama.

JKKP Selangor dalam kenyataannya berkata siasatan awal pihaknya mendapati terdapat kegagalan dalam struktur jentera tersebut. 

"Menurut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (1994), kontraktor utama sebagai majikan bertanggungjawab memastikan keselamatan penggunaan kren menara di tapak pembinaan.

"Akta Kilang dan Jentera (1967) pula mengkehendaki kren menara dipasang, diselenggara dan dirombak oleh syarikat kompeten yang berdaftar dengan JKKP," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menerangkan syarikat kompeten itu hendaklah dilantik oleh kontraktor utama untuk menjalankan pemeriksaan dan penyelenggaraan secara berkala, mengikut spesifikasi syarikat pembuat kren menara bagi memastikan kren berada dalam keadaan selamat untuk digunakan.

"Mana-mana orang yang melanggar perintah khas ini adalah melakukan satu kesalahan dan boleh didakwa di bawah Seksyen 8(g) Akta Kilang dan Jentera 1967 dan jika disabitkan kesalahan pihak yang bertanggungjawab boleh didenda tidak melebihi RM 200,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya," katanya. - Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment