Tanah runtuh di Pulau Aur

Tuesday, January 2, 2018

Tanah runtuh di Pulau Aur

Tanah runtuh di Pulau Aur

MERSING - Hujan lebat berterusan sejak awal pagi Isnin lalu menyebabkan beberapa kawasan di Pulau Aur mengalami gelinciran tanah hingga merosakkan beberapa struktur bangunan, kemudahan awam dan rumah penduduk.

Pengarah Jabatan Taman Laut Negeri Johor, Mohd Nizam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan kejadian yang menjejaskan stesen kerja pemantauan Taman Laut yang terdapat di pulau tersebut, awal pagi tadi.

"Laporan diterima pagi tadi kira-kira jam 10 pagi tapi kejadian tanah gelungsur itu pagi semalam. Kejadian itu menyebabkan stesen kerja pemantauan Taman Laut pangkalan hadapan Pulau Aur rosak teruk.

"Kerosakan berlaku pada struktur bangunan, pagar, stor penyimpanan penguatkuasaan dan dapur," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Menurutnya, kerosakan tersebut akibat batu besar dan kayu yang ikut tergelincir bersama air deras dari atas bukit.

"Kita akan minta pihak Jabatan Kerja Raya untuk membuat penilaian kerosakan bagi struktur bangunan dan struktur tanah.

"Saya bimbang sebenarnya kejadian berulang sebab masih banyak batu-batuan yang masih di atas bukit," katanya.

Air yang turun dari atas bukit bersama batu dan pokok yang tumbang memusnahkan struktur bangunan yang berada di bahagian bawah.

Operasi JTLMNJ di Pulau Aur dialih buat sementara ke Pulau Tinggi sehingga proses penilaian dan siasatan selesai.

Dalam pada itu, beliau berharap mana-mana orang awam tidak menghampiri kawasan terjejaa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Difahamkan fasiliti awam seperti masjid, klinik dan pondok polis tidak terjejas namun sekolah serta kuarters guru terjejas dalam kejadian itu.

Beberapa rumah penduduk juga dilaporkan mengalami kerosakan pada dinding dan beberapa bahagian lain malah sumber air bersih turut terputus.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment