'Saya ingatkan panggilan palsu...'
SHAH ALAM: Nada tenang suara pemanggil memberitahu anak gadisnya maut dalam nahas jalan raya, membuatkan seorang bapa menyangka ia sekadar panggilan palsu.
Norhisham Jailani, 47, menerima panggilan pihak polis kira-kira jam 12 tengah hari tadi, mengatakan anak sulungnya, Norsya'Baniah, 22, terbabit dalam kemalangan.
"Awalnya saya sangka ia panggilan palsu. Selepas anggota polis menerangkan apa yang berlaku, baru saya sedar kejadian sebenar," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Shah Alam di sini, hari ini.
Sejurus menerima berita itu, beliau sekeluarga bergegas ke hospital bagi mendapatkan kepastian.
Walaupun mengharapkan perkhabaran itu adalah sebaliknya, Norhisham tergamam sebaik melihat jenazah anaknya dan reda menerima ketentuan takdir.
Dalam kejadian jam 6.36 pagi tadi, Norsya'Baniah, 22, dan rakannya, Muhammad Azki Dahlan Jamit, 21, maut selepas Perodua Kancil dinaiki gagal dikawal lalu melanggar tembok di Plaza Tol Batu Tiga, di sini.
Kemalangan turut menyebabkan pemandu kereta, Muhammad Azri Dahalan Jamit, 23, yang juga abang Muhammad Azki, cedera parah.
Difahamkan, Norsya'Baniah yang menuntut di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alam (PSA), dalam perjalanan dari Kuala Lumpur untuk menghadiri kuliah pagi.
Norhisham kali terakhir menemui anaknya itu ketika dihantar ke Stesen Komuter di Seremban, Negeri Sembilan, jam 4 petang semalam.
Isterinya, Sohaini Md Sari, 45, berkata mereka sekeluarga sempat menghabiskan masa cuti hujung minggu kelmarin di Air Terjun Jeramtoi, Jelebu.
"Ketika pulang pada cuti hujung minggu lalu, dia kurang sihat kerana demam dan tiada selera makan walaupun diajak berkali-kali," katanya.
Jenazah Norsya'Baniah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Teluk, Port Dickson.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, pihaknya akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian dan mencari saksi kejadian bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau di sini, tidak lagi beroperasi berikutan pemansuhan kutipan tol yang berkuat kuasa bermula 1 Januari lalu.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment